Kisah Qabil dan Habil




[Part 1]


Qabil – Abang kepada Habil.
             berbadan kecil dan lemah.
             mempunyai tabiat kasar.

Habil – Adik kepada Qabil.
             berbadan besar dan lebih kuat dari abangnya.
             mempunyai tabiat yang sangat baik dan perasaan yang sangat halus dan
             berbudi pekerti tinggi.


          Qabil dan Habil merupakan putera Nabi Adam. Usai menigkatnya usia remaja kedua-duanya, Nabi Adam membahagikan pekerjaan kepada kedua-duanya. Qabil yang mempunyai tabiat yang kasar ditugaskan untuk bertani, mengolah tanah, mencangkul dan menebas hutan belukar. Hal ini kerana tanah dan hutan belukar adalah barang mati yang tak memerlukan perasaan halus dan rasa kasih dan cinta.
          

 Manakala Habil yang mempunyai perasaan yang halus dan kasih sayang ditugaskan untuk memelihara binatang ternak, iaitu kambing dan sapi yang dapat merasakan haus, lapar, sakit dan senang. Ternakan itu perlu disayangi, dicintai dan harus diuruskan oleh manusia yang mempunyai perasaan halus dan rasa kasih sayang.
           

Seusai matahari terbit di waktu pagi, keluarlah mereka untuk bekerja. Qabil terus menuju ke hutan menebas belukar, ke ladang mencangkul, menebarkan benih atau menuai (bila tanaman sudah masak untuk dituai). Manakala Habil menuju ke padang rumput untuk memelihara dan menggembalakan ternakannya.
           

Kala matahari hampir tenggelam, siang mula berganti dengan malam, mereka akan kembali ke tempat kediaman mereka. Qabil membawa buah-buahan dan sayuran, dan Habil membawa susu.
           

Ketika selesai menjamu selera, timbulnya difikiran Nabi Adam untuk mengajar anak-anaknya bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah memberi rezeki kepada mereka.


Nabi Adam : Lihatlah anak-anakku, kita ini tidak akan ada kalau tidak diciptakan oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t lah yang menciptakan diri kita masing-masing. Diciptakan Allah s.w.t bumi yang lebar dan luas ini untuk tempat tinggal kita. Lihatlah, alangkah luas dan lebarnya bumi Allah s.w.t yang kita tempati ini. Disinari oleh matahari di waktu siang dan bulan dan bintang pada malamnya. Ditumbuhkan Allah s.w.t segala macam tumbuh-tumbuhan, lalu dikembangkan Allah s.w.t segala macam binatang-binatang untuk dijadikan sebagai rezeki kita. Oleh itu anak-anakku, marilah kita menyembah kepada Allah s.w.t dan mensyukuri segala nikmat dan rahmat-Nya kepada kita.
          

 Bagi menguji keimanan dan kesyukuran kedua orang anaknya yang sudah remaja itu, Nabi Adam menyuruh keduanya, Qabil dan Habil pergi ke puncak sebuah gunung. Mereka di arah membawa sebahagian dari hasil yang mereka kerjakan  dan diletakkan hasil itu di puncak gunung itu, agar dapat di makan oleh makhluk Allah s.w.t yang tak pandai bercucuk tanam dan memelihara binatang ternak. (Pekerjaan yang disuruh Nabi Adam terhadap anaknya  sama seperti korban, zakat dan ibadat.)
           

Pekerjaan korban, zakat, dan ibadat ini amat sesuai dengan perasaan Habil. Dia dapat merasakan kebesaraan Allah s.w.t yang banyak nikmat pemberian-Nya, apalagi pengorbanan tersebut akan dapat menolong makhluk-makhluk Allah s.w.t yang dalam kehausan dan kelaparan.
           

Berbeza dengan keadaan Qabil yang menentang pekerjaan itu didalam hatinya. Baginya, mengorbankan sebahagian dari hasil kerjanya yang didapatkannya dengan penuh jerih lelah untuk dijadikan zakat atau ibadat terhadap Allah s.w.t adalah satu pekerjaan yang tak berguna, bodoh dan merugikan.


Qabil : Alangkah susahnya mencari rezeki, kenapa rezeki itu dilemparkan ke puncak gunung untuk dimakan binatang-binatang yang tak ada gunanya.
           

Pada saat itu, iblis yang dilontarkan Allah s.w.t ke bumi, sudah mulai menjalankan peranannya untuk memesongkan hati manusia dari amal dan perbuatan yang baik.
           

Habil memilih kambingnya yang terbaik dan tergemuk untuk dijadikan korban. Sesudah disembelihnya, lalu diletakkannya di puncak gunung sebagai korban dan tanda terima kasihnya terhadap Allah s.w.t yang telah memberikan rezeki.
           

Qabil dengan perasaan enggan dan terpaksa, memilih buah-buahan yang tidak elok, yang sudah setengahnya busuk kerana hatinya memang tidak baik dan busuk itu.
           

Baik Habil mahu pun Qabil, mereka meletakkan korban masing-masing di puncak gunung dengan harapan korban itu akan diterima oleh Allah s.w.t dengan penerimaan yang baik.
           

Pada hari berikutnya, pergilah kedua bersaudara itu diiringi ayahnya, Nabi Adam untuk melihat apakah korban-korban itu sudah diterima oleh Allah s.w.t atau tidak.
           

Ternyata bahawa korban habil sudah tidak ada lagi, dan bererti sudah diterima oleh Allah s.w.t dengan baik. Tetapi korban Qabil yang terdiri atas buah-buahan yang tak baik dan busuk itu masih ada disitu, bahkan sudah menjadi lebih busuk. Itu bermakna, korban Qabil tidak diterima oleh Allah s.w.t.
          

Habil sangatlah girang melihatkan korbannya diterima dengan baik oleh Allah s.w.t. Lalu dia bersyukur dan berterima kasih. Qabil menjadi marah dan iri hati kerana korbannya tidak diterima oleh Allah s.w.t.


Qabil : (Dengan perasaan yang marah.)Korban si Habil diterima oleh Allah s.w.t, kerana ayah mendoakannya. Korban saya tidak diterima oleh Allah s.w.t kerana ayah tidak suka mendoakan untuk saya.”


Nabi Adam : Habil mengorbankan barang-barang yang baik kerana hatinya baik. Korbannya diterima oleh Allah s.w.t, kerana Allah s.w.t suka kepada barang-barang yang baik. Sedang engkau (Qabil) mengorbankan buah-buahan yang tidak elok dan busuk. Itu menunjukkan hatimu busuk. Korban mu tidak diterima oleh Allah s.w.t kerana Allah s.w.t tidak suka kepada barang-barang yang busuk dan tidak baik.
Qabil menjadi marah dan iri hati kerana korbannya tidak diterima oleh Allah s.w.t. Dia memarahi adiknya Habil, walau pun Habil tidak bersalah apa-apa terhadap dirinya.


Pedoman : Iblis sudah dapat memasuki salah satu kelemahan dari unsur manusia dengan saluran kecintaan manusia kepada harta benda. Harta benda dan kekayaan adalah satu alat buat iblis untuk memperdayakan manusia.
          
              
Walau pun Habil tidak bersalah, Qabil tetap memarahi adiknya. Begitulah caranya iblis menggoda manusia-manusia yang lemah jiwa, batin, dan imannya untuk membenci saudaranya sendiri walau pun tiada kesalahan yang dilakukan. Sungguh perdayaan dan tipu muslihat iblis itu halus dan amat licin sekali.


"Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan RahmatMu".  [Al-Hasyr:10]
         
         

Comments

Popular Posts