Ramadhan Terakhir





“Along, ayah minta Along dengar cakap ayah untuk sekali ni. Lepas ni kalau Along dah tak nak pandang muka ayah, dah tak sudi dengar suara ayah, ayah tak kan paksa Along dah.”

Kaki yang tadinya laju melangkah terhenti.

“Cukuplah Along hidup dengan gaya bebas yang penuh dengan maksiat.”

“Ayah cakap pe ni? Tak kan Along keluar dengan member pun ayah nak bising?” Mata mencerlung, bengang.

“Ayah tak kisah kalau Along keluar dengan member, tapi yang buat ayah terkilan Along melepak dengan perempuan yang ntah dari mana. Bertepuk tampar, duduk sebelah menyebelah, bersentuhan.”

“Dah macam tu baik tak payah keluar pergi mana-mana. Duduk je terperap kat rumah ni!”

“Along, bukan tu yang ayah maksudkan. Ayah cuma nak Along faham, yang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan adalah haram.”

Dengan senyuman sinis dan gelakkan kecil dia mengalihkan pandangan. “Ni bandar la yah, benda tu dah jadi biasa pun, bukan buat pe pun. Lepak jer pun!”

Ayah mengurut dada, beristighfar lembut. “Along! Mengucap Along!”

Tubir mata ayah mula digenangi air mata. Mata ayah dah tak menikam lembut pada raut wajah Along. “Along lahir, ayah dengan ibu masih lagi belajar, peritnya waktu tu tak tertanggung demi mencari sesuap nasi. Manakan nak kerja lagi, belajar lagi. Tapi kami tak pernah rasa terbeban, kelahiran Along cukup menggembirakan kami, menyuluh sinar kebahagiaan dalam hidup kami.”

Akhirnya empangan air mata ayah tumpah jua.

“Membesarkan Along, banyak ujian yang ayah dan ibu terpaksa lalui, Along pun tahu. Ayah bukan nak mengungkit, bukan juga nak mengharapkan balasan. Ayah tak mengharapkan Along berjawatan tinggi, bergaji besar, gaji ayah dengan ibu dah cukup untuk menampung hidup kami. Ayah cuma nak Along jaga solat, baca al-Qur’an, bertaubat atas dosa-dosa lalu.”

“Bukannya Along tak solat.” Membantah.

“Kalau ayah tak suruh, kalau ayah tak paksa Along tak solat kan? Dah berapa tahun al-Qur’an tu tak tersentuh?”

Senyap. Kaki dihentak diatas permaidani.

“Tolong la Along, kamu dah 25tahun, dah boleh fikir mana yang baik dan yang buruk. Ayah tak suka Along keluar malam-malam tanpa hala, lepak sampai pagi solat ntah ke mana. Semua tu tak bawa faedah Long.”

“Then duduk rumah tenung dinding sampai tembus!”

“Tak boleh ke Along dengar cakap Ayah untuk sekali ni? Ayah dah tua Long, bila-bila masa ayah akan dijemput-Nya.”

“Dengan Along ayah nak bising! Dekat Jai, ngan Syaq ayah tak bising pun. Semua yang Along buat serba tak kena! Rimas giler!" Tanpa peduli susuk tua itu, kaki laju melangkah dan dentuman pintu dihempas kedengaran kuat.

Disebalik daun pintu bilik, air mata laju membasahi pipi seorang gadis. Tombol pintu dipegangnya erat, menyokong tubuh dari terjelopok jatuh. Suara tinggi sang anak menengking si ayah makin kuat. Syaitan yang bersorak penuh kegembiraan seolah terlayar ditubir mata. Air mata yang menghujan dipipinya makin melebat. ‘Ya Ilahi, hati ini hancur tak terperi.’

“Arra…”

“Ya Ayah.”

“Kamu tolong tengok-tengokkan Along, nasihatkan dia.”

“InsyaAllah”

Langkah lesu ayahnya dipandang. Nafas ditarik lembut. ‘Tabahlah hati.’

“Kak kenapa?”

“Hah?”

“Kenapa Along?”

“Macam biasa.” senyuman kelat terukir dibibir.

Jai geleng kepala. “Kesian ayah.”

Mata hanya merenung kosong ke depan.

“Kalau lah ayah tahu hal sebenar, macam mana la.” Aimi mengeluh.

“Sampai bila kita nak simpan kak?” Arra dipandang kalih.

“Aimi geram je nak bagitahu ayah tadi!”

“Then apsal tak bagitau?” Jai pandang Aimi

“Mesti ayah tak caye kat Aimi punya!”

Arra tersenyum. Jai tolak lembut bahu Aimi. “Sengal!”


********************


Getaran fonsel mengejutkannya. Butang hijau pantas ditekan.

-          "Assalamuallaikum"

-          "Walaikumusalam"

-          "Busy ke kak?"

-          "Tak pun. Kenapa?"

-          "Saje je call. Aku dapat call free ni."

-          "Ouh! Patut la, ingat kau putus fius tetiba dalam sejarah hari ini kau murah hati nak tepon akak."

       Da’iey tergelak. ‘Terbaik kena batang hidung!’  "Ibu ngan ayah sihat kak?"

-          "Alhamdulillah sihat. Bila break summer?"

-          "Sekarang la."

        Dahi spontan diketuk. Lupa!

-          "Kau memang nyanyuk la kak. Sana bila start puasa?"

-          "Amboi! Dalam seminggu lagi."

-          "Ouh! Sedih kot tak dapat balik raya tahun ni!"
-          
       "Ada orang nak leleh lerrr" Mengusik.

       Da’iey gelak besar.  " Jangan lupa postkan ketupat ngan rendang, pagi raya nanti.

       Arra terlepas gelak. Kepala dah tergeleng.  " InsyaAllah, nanti akak pos laju naa."

-          "Poyo! Kay la, nak pi main bola ni. Kirim salam kat ayah, ibu, atuk and semua la."

-          "Ok. Take care."

-          "Assalamuallaikum."

-          "Walaiakumusalam."

Tanpa sedar bibir tarik senyum. Rindu yang lama tersimpan didada seolah terungkai. ‘Akak akan rindukan Da’iey nanti. Engkau rahmati dan peliharalah adikku disana Ya Allah, moga dia kuat untuk menempuhi ujian dan dugaan-Mu’

Perlahan kaki mengorak langkah ke tandas. Wudhuk diambil penuh tertib.


*******************


Seusai salam diberi, bibir mengalun zikir memuji Ilahi. Dalam keheningan pagi, hati yang sesak seakan dingin. Tangan diangkat ke dada langit memohon pada-Nya. Air mata perlahan mengalir dari tubir mata membasahi pipi.

            ‘Ya Allah s.w.t, di heningnya pagi aku kembali tunduk sujud pada-Mu. Pada hening pagi-Mu ini, aku bersimpuh demi memohon keampunan dari-Mu. Di keheningan pagi ini jua, aku menyingkap tirai hatiku yang sesak ini, mengadu penuh keinsafaan pada-Mu, mengharapkan sejalur kekuataan dari-Mu kerana hanya pada-Mu ku pasrah kan segala-galanya Ya Illahi.

            Ya Allah s.w.t, di mata dunia aku kelihataan sempurna, cekal, dan tabah. Padahal hati ini selalu goyah saat ujian-Mu menyapa, hati ini jua seringkali tewas dalam godaan syaitan durjana. Walau berjuta bait-bait kata semangat yang aku lontarkan pada yang memerlukan, aku jua selalu tersungkur kalah akibat nafsu yang menyapa, kadangkala aku tewas dalam gemilangnya lautan duniawi, dan ada kalanya aku lemas dalam dunia sendiri.

            Pada teriknya mentari hati memaki, pada basahnya hujan hati memarahi, pada gelapnya malam hati mengeluh, pada cerahnya siang hati gundah, syukur itu tak pernah menyapa diri, dan kini aku mengharapkan cinta-Mu Ya Rabbi.

            Ya Allah, saat aku jatuh kau tiupkan semangat, saat aku putus harapan kau teguhkan benteng kekuatan, saat aku terkapar-kapar mencari arah kau selimutkan aku dengan iman dan taqwa, nikmat-Mu yang mana lagi harus aku dustakan Ya Allah..

            Ya Illahi, hati ini sakit! Sakit yang amat Tuhan. Jasadku tak lagi mampu berdiri tegak. Urat nadiku pun tunduk bersembunyi seakan enggan lagi menonjolkan diri. Aku malu pada-Mu Ya Allah, serasa nafasku dihujung helaan cuma.

                        Ya Ilahi, andai nyawa menjadi taruhan, aku lepaskan segala-galanya. Hati ini tak mampu lagi menutup sebuah maksiat yang merobek jiwaku. Jasad ini tak mampu lagi menanggung bebanan maksiat itu. Andai kematianku mampu memberikan sejalur keinsafaan pada Alongku, ku pasrahkan segala-galanya Ya Allah. Jangan nanti Ya Allah, saat janji-Mu padanya tiba, dia pergi dengan kejahilan yang menyelimuti, aku tak sanggup Ya Allah.


****************


“Along nak pergi mana?”

“Keluar.”

“…but dah pukul dua pagi ni.”

“Dah tu kenapa?”

“Kan ayah tak bagi keluar malam?”

“Yang kau menyibuk kenapa? Kalau kau tak kasi tau ayah, tak de nya ayah tau!”

“…tolonglah Long, kau bukan budak kecik lagi. Tak kan kali ni tak leh nak mengalah?” Mencuba memujuk.

“Apesal semua orang dalam rumah ni kecoh sangat?!”

“Dunia ni sekadar persinggahan. Ada apa pada kemewahan? Ada apa pada kesenangan? Ada apa pada hiburan yang melampau? Ada apa pada pergaulan bebas? Semua tu hanya mengundang diri ke lembah kehancuran.”

“So, kau tak keluar rumah, tak lepak, then kau bajet kau bagus giler arrrr?” Bibirnya terhias senyuman sinis.

“Sama ada aku bagus or tak, hanya DIA yang tahu. Kau pernah janji nak bertaubat. Tak nak merajakan nafsu. But sekarang? Semua tu tak kan terjadi selagi kau tak ubah sikap. Nak mengharapkan hidayah-Nya semata? Fikirlah Long, kau mengharapkan DIA beri hidayah, but you didn’t give anything to HIM. Diibaratkan kau nak menanam, but tanah tu dipenuhi semak samun so kalau kau tak usaha untuk tebang semak samun tu boleh ke kau menanam?”

“Kalut ar pepagi buta ni! Kau nak bagi tazkirah, kau bagi kat si Jai tu! Blah.”

Perlahan bibir mengukir senyuman, ‘Sabarlah wahai hati.’


****************


“Apesal bising tu?”

“Ayah marah Along.”

“Again?”

Aimi jungkit bahu. “As usual.”

“Kak Arra mana?”

“Dalam bilik kot.”

“Weyh, Along nak pukul ayah!” Aimi cemas.

“Along!” Jai menerpa.

“Kau jangan sebok la budak!”

Ketukan bertalu dipintu menghentikan bacaannya. Kaki pantas melangkah.

“Kak Arra, Alongggg..”

“Along! Kau gila ke!”

Jeritan Jai memberikan reflex kepada Arra. Kaki pantas menuju ke ruang tamu.

“Along!”

Mata terkesan jua ibu yang sedang menahan esak.

“Kau kenapa? Dah hilang akal? Mengucap lah! Jangan diturut nafsu, nanti menyesal tak sudah.”

Kolar baju Jai dilepaskannya.

“Jai, bawak ayah ngan ibu masuk bilik. Akak nak cakap dengan Along.”

“Kenapa ni Hafizul Amar? Megah sangat dengan nafsu amarah? Dah tak kenal dengan siapa dirimu berbicara. Pada siapa dirimu amarah? Pada siapa dirimu menunding salah? Pada siapa dirimu berlagak hebat? Pada siapa dirimu lantang bersuara?”

Seketika nafas ditarik, bibir tersenyum payah.

“Sedarkah wahai Hafizul Amar, pada dia insan yang melahirkan mu, pada dia insan yang memberikan sesuap nasi buat mu, pada merekalah kau lemparkan tohmah! Sungguh hatimu keji!”

“…dia yang mulakan!”

Arra ketawa kuat.

“Dia? Dia tu siapa? Siapa?”

Aimi mula gementar. Buat pertama kalinya kak Arra bersikap keras.

“Kau sangat hebat Hafizul Amar!” Kedua-dua belah tangannya ditepuk.

“Pada salahmu, kau tunding kearah mereka. Demi menutup aibmu, kau lantang ketika bersuara, demi menegakkan egomu, kau megah menghina. Hebat kan? Jangan ingat diamku kerana takut! Mengertilah Hafizul Amar, diamku kerana menjaga aibmu, kerana hormatku pada pangkatmu sebagai abangku, dan diamku demi sebuah nafas kedua insan yang makin dimamah usia. Tapi kau seolah tak mengerti, atau hanya sebuah kepuraan? Dengan megah kau menengking, dengan sombong kau menunding, seolah-olah dirimu mulia dan mereka yang hina! Jangan ingat aku bodoh! Sabarku ada batasnya, tolak ansurku ada hadnya. Perlukah aku hurai satu persatu perbuatanmu untuk kau tunduk pada ego mu? Perlukah aku layarkan bukti untuk kau memohon keinsafan? Akankah itu betul-betul mengubahmu atau sekadar ugutan yang mengubahmu tanpa sedikit pun ikhlas dihati? Aku bukan mencari sebuah keinsafan yang palsu, bukannya jua mengharap perubahan yang penuh dengan keterpaksaan, cukup engkau sedar segala perbuataan dan dosa-dosamu untuk kau kutip kembali sisa kemaafaan dari-Nya.

            Walau sejahat mana, sehina mana pun kau, ikatan pertalian kita tak akan pernah putus. Tegarkah aku melihat kau terseksa dimamah api neraka, bila mana aku bersenang lenang ditaman syurga? Selagi aku bernafas dimuka bumi ini, mujahadahku buatmu tak akan mati. Biar berkali kau nafi, biar rapat mata kau pejam, biar erat telinga kau tutupi mujahadahku tetap tak kan terhenti dengan izin-Nya.

            …dan aku tak kan pernah salahkan DIA jika dirimu pergi dengan kejahilan itu, kerana aku mengerti sebuah hakikat yang tak kan pernah dapat aku nafikan "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang membuat dusta kepada Allah s.w.t? Mereka itu akan dihadapkan kepada Tuhan mereka, dan para saksi (malaikat) akan berkata: Orang-orang inilah yang telah berdusta terhadap Tuhan mereka". Ingatlah kutukan Allah s.w.t ditimpakan ke atas orang-orang yang zalim. (Hud:18)

            …dan aku tak hairan mengapa setiap kata nasihat itu kau campak ke longkang, kerana hatimu telah dibutakan dengan nafsu, gelap segelap gelapnya, sebagaimana Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Araad:146 "Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombong dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku. Mereka jika melihat tiap-tiap ayat-Ku, mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk , mereka tidak mahu menempuhnya, tetapi jika mereka lihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhinya. Yang demikian itu adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadanya"


Sedarkah dirimu?

Orang yang sombong itu adalah mereka yang diberi peluang menikmati kehidupan, tetapi mereka tidak mahu sujud kepada yang menjadikan kehidupan itu yakni Allah s.w.t Tuhan sekelian alam. Maka bertasbihlah seluruh isi bumi dan langit kepada Tuhan-Nya kecuali jin dan manusia yang sombong diri!

Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat al-Qur’an, Hadith dan cerita-cerita kebaikan, namun mereka tidak merasai apa-apa kesan di dalam jiwa untuk bertaubat

Orang yang dungu adalah orang yang tidak mahu beribadah, tapi menyangka bahawa Tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaiannya itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya

Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meneliti akan kebesaraan al-Qur’an dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya

Dan, orang yang tuli itu adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya, seolah-olah dia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

Jagakan akalmu, buka selebarnya matamu, amati pendengaraanmu; tanya, lihat, dan cerminkan pada dirimu, siapakah engkau sebenarnya? Adakah orang sombong itu, orang yang mati hatinya itu, orang yang dungu itu, orang yang buta itu, orang yang tuli itu atau kesemuanya? Ketuk akalmu, tanyakan pada hati gelapmu!


***************


Ku pasrahkan semuanya pada-Mu Ya Allah s.w.t. Ujian kepahitan dalam kehidupan, padanya ada kemanisan, ketenangan dan kebahagiaan. Moga tabahlah diri ini.


Hati,
Biarkan kepahitan itu pergi
agar kemanisan mengisi
Biarkan kekecewaan berlalu
agar kegembiraan mewarnai
Biarkan kegelisahan lenyap
jangan biar dirimu hilang semangat
Biarkan penderitaan itu menyapa
agar kekuataan dapat dijana kembali
Biarkanlah diri ini derita
agar aku tahu kepahitan derita itu
agar aku sedar kesengsaraan ini
tak sama, bahkan hanya secebis dari penderitaan kekasih-Mu, Muhammad s.a.w.



Sesungguhnya tiada daya aku walau seinci tanpa izin-Mu. Sirah nabawiyah disingkap saat hati berduka,


Nabi Nuh bersedih hati dan berdukacita atas kematian puteranya dalam keadaan kafir tidak beriman dan belum mengenal Allah s.w.t. Beliau berkeluh-kesah dan berseru kepada Allah s.w.t:"Ya Tuhanku, sesungguhnya puteraku itu adalah darah dagingku dan adalah bahagian dari keluargaku dan sesungguhnya janji-Mu adalha janji benar dan Engkaulah Maha Hakim yang Maha Berkuasa."Kepadanya Allah s.w.t berfirman:"Wahai Nuh! Sesungguhnya dia puteramu itu tidaklah termasuk keluargamu, karena ia telah menyimpang dari ajaranmu, melanggar perintahmu menolak dakwahmu dan mengikuti jejak orang-orang yang kafir daripada kaummu.Coretlah namanya dari daftar keluargamu.Hanya mereka yang telah menerima dakwahmu mengikuti jalanmu dan beriman kepada-Ku dapat engkau masukkan dan golongkan ke dalam barisan keluargamu yang telah Aku janjikan perlindungannya dan terjamin keselamatan jiwanya. Adapun orang-orang yang mengingkari risalah mu, mendustakan dakwahmu dan telah mengikuti hawa nafsunya dan tuntutan Iblis, pastilah mereka akan binasa menjalani hukuman yang telah Aku tentukan walau mereka berada dipuncak gunung. Maka janganlah engkau sesekali menanyakan tentang sesuatu yang engkau belum ketahui. Aku ingatkan janganlah engkau sampai tergolong ke dalam golongan orang-orang yang bodoh."


Subahanallah, sungguh hati ini alpa. Ampuni aku Ya Allah s.w.t.


**************************


Sesudah bacaan talkin, pusara disirami dengan air mawar. ‘Tenanglah engkau disana kakakku, Arra Humaira Rashdan moga dirimu ditempatkan dikalangan orang yang beriman.’


Pintu bilik arwah perlahan ditolak dari luar. Segenap penjuru diamati. Perlahan kaki menghampiri meja yang terletak disudut kanan bilik. Sebuah kertas kekuningan yang terselit dicelahan buku ditarik.


Bulan suci itu bakal muncul lagi,
bulan yang sering di nanti,
hadirnya membawa seribu rahmat,
perginya di rindui sekalian umat.

Masanya telah tiba,
rohani yang terbiar malap sedia di gilap,
ibadah surriyyah mula melebat,
malam yang kelam kembali terang,
tersingkapnya rahsia seorang hamba dengan penciptanya.

Detik itu dihitung,
munculnya di nanti,
hati terlalu merindui,
mungkinkah ini RAMADHAN yang terakhir
hati seakan menggamit sayu,
wajah tua kesayangan di tatap syahdu,
masihkan ada kesempatan itu?

Bulan Mubarak itu,
hadirnya membawa seribu hikmah,
jasad yang hina terbelenggu dek nafsu, tunduk insaf.

Bulan Mubarak itu,
Memberi seribu erti,
yang kaya dan miskin semuanya sama,
bezanya cuma amalannya,
pahit jerih sama dirasai,
tiada yang terkecuali,
itulah rahsia teladan RAMADHAN al-Mubarak.

Pada keheningan pagi,
pada damainya titisan embun,
bumi dilimpahi sinaran cahaya lampu,
yang tua dan muda semuanya bangkit soq,
langit seakan bergemerlapan,
bumi tersenyum indah.

Saat bulan suci itu tiba,
syurga berlenggang dan berhias indah,
bertiupnya angin bayu di bawah Arasy,
lalu berterbangannya dedaun kayu di syurga,
terdengarlah desiran dedaun kayu yang lemah longlai itu.
Hembusan sang bayu syurga bertiup indah,
seni rentak lagunya menawan kalbu.

Bagi yang berpuasa,
terbukanya pintu syurga Al-Janan buatmu,
tertutupnya pintu neraka Al-Jahim,
terbelenggunya syaitan durjana,
dan dilontarkan ia ke lautan.

Dari lawh Mahfuz ke Baytil Izzah,
turunnya kitab Al-Qur’an,
terhurainya setiap urusan dunia,
diputus-Nya detik ajal,
ditentukan-Nya pasangan buat hambanya,
dan saatnya detik yang digeruni terhitung,
diputus-Nya saat kematiaan untuk tahun berikutnya,
itulah malam penuh keberkataan,
malam Lailatul Qadar.

Diperintah-Nya Jibrail Alaihisalam turun ke bumi,
bersamanya bendera hijau dipacakkan ke atas kaabah,
kedua sayapnya ditebarkan dari Musyriq ke Maghrib,
disapanya dengan salam buat tiap yang berjaga,
beribadah penuh tawadduk pada-Nya,
sujud penuh keinsafaan,
itulah kebesaraan malam Lailatul Qadar.

Lailatul Qadar,
saatnya diampunakan-Nya dosa-dosa besar,
melainkan empat dosa;
seseorang yang kekal minum arak,
anak yang derhaka,
orang yang memutuskan silaturrahim,
dan tidak bercakap dengan saudaranya melebihi tiga hari.

Lailatul Qadar,
malam yang didamba,
malam yang dicari,
pahalanya melebihi seribu bulan,
hadirnya sedetik cuma.

Lailatul Qadar,
saat ianya muncul,
terbitnya matahari yang putih bersih,
tidak memancarkan sinar yang kuat,
siangnya tiada membahang,
dan malamnya sangat nyaman,
itulah kelebihan RAMDHAN al-Mubarak
Maha Agung-Mu Ya Allah.

Tibanya bulan Mubarak itu,
saatnya peribadi diri tersingkap,
tak kala syaitan durjana terikat lemas,
kemungkaraan tetap terpampang luas.
Sedarlah wahai manusia!
nafsu dalam dirimu sebenar-benar musuhmu
Mengertilah,
ego itu puncak segala nafsu
sesungguhnya DOA itu senjata setiap MUKMIN.

Langit ku dongak,
al-Fatihah beralun di bibir,
moga diri ini di afiatkan dari sakitnya mata di bulan Mubarak ini Ya Allah.

Hati terlalu rapuh,
dalam kerinduaan mendalam,
air jernih laju menuruni lekuk pipi,
Ya Ilahi,
ku mengharapakan RAMADHAN kali ini penuh makna,
moga dapat ku tempuhinya dengan seluruh kudratku
hanya demi keampunan-Mu Ya Rabbi

Andai bisa kematiaan itu ditangguh,
biar temulang ini patah,
akan ku tunduk sujud memohon pada-Mu,
berilah kesempatan hati ini mengubat kerinduan pada Mubarak al-RAMADHAN-Mu Ya Tuhan buat terakhir kalinya


Rinduku buat mu Ayah dan Bonda tersimpan kemas dikalbuku, moga tabahlah dirimu wahai kesayanganku. Andai saatnya janjiku dengan-Nya telah tiba, redhakan pemergiaanku, pada doamu aku harapkan, pada maafmu aku pohonkan. Halalkan makan minumku, maafkan salah silapku Along, doaku buatmu tak pernah kering, harapanku tak pernah pudar, mujahadahku tak pernah terhenti. Moga tersingkapnya tirai kelam yang menutupi hatimu agar kau kembali mengenggam bara Deen yang sebenar, pada-Nya aku berserah.

Arra Humaira Rashdan
1Ramadhan 1430H


********************


‘Ya Rabbi, tabahnya sekeping hati milik gadis kecil ini. Walau berkali dirinya ditohmah, walau berkali dirinya ditunding salah, tak pernah dia berhenti mengalah.’

Memori sebelum pemergiaan arwah kembali berputar dikotak fikiran.

“Jai…”

“Ye kak?”

“Busy?”

“Dah nak siap pun. Apesal?”

Bibirnya tak lekang dengan senyuman. Raut wajahnya kelihatan indah sekali. “Kalau ni Ramadhan terakhir akak, mesti korang akan rindukan akak kan?” bibir tarik sengih luar sedar.

Jai pandang Arra pelik. “Kak?”

“Akak rindu giler kat Da’iey, sama macam akak rindukan arwah tok wan.” Setitis air mata jatuh dari kelopak matanya.

“Akak nak Jai call abang Da’iey?”

Dia hanya tersenyum, kepala digeleng lembut. Raut wajah adiknya ditatap lembut. Perlahan jejarinya menyentuh dadanya lembut. “Hati akak dah tercedera parah. Mata akak dah tak mampu mengeluarkan mutiara jernih itu. Jasad akak penat sangat Jai, akak just nak pejam mata, menjauh dari dunia palsu ni.”

“Akak…”

“Memang sukar untuk menegakkan sesuatu yang tak dapat diterima akal, dan lagi sukar untuk telan pahitnya kebenaraan. Tak perlulah Jai, Aimi dan Shaq bagitahu ayah dan ibu pasal perbuatan maksiat yang Along buat. Biarkan masa menentukkannya. Kita dah mencuba, tapi tak berjaya. Mungkin ada hikmah disebaliknya, kita berdoa mengharapkan yang terbaik.”

Jai angguk. Matanya tak lepas menatap raut wajah kakaknya.

“Walau kita sebumbung, hakikatnya hati akak dengan ayah dan ibu sangat jauh, setiap malam akak menangis rindukan mereka. Walau tiap hari berjumpa, rindu itu seakan tak terubat. Pahitnya sakit itu tak tertelan. But, the more I pain, the more I can’t get enough, the more I love them. Tolong jaga mereka, walau setua mana, walau senyanyuk mana, jangan pernah campak mereka jauh dari hidup Jai, insyaAllah Jai akan bahagia dunia dan akhirat.”

“Kak Arra, ok tak ni?”

Kedengaran gelak kecil terletus dari ulas bibir kecilnya. “Kepala akak dah overload kot, tu pasal yang merapu meraban ni.”

Jai tarik sengih bingung.

“Ok la, akak masuk tidur dulu. Esok pagi-pagi nak solat sunat raye, karang terbabas.”

“Ok. Night. Assalamuallaikum.”

“Waalaikumusalam. Jangan lupa kirim salam maaf zahir dan batin kat semua orang bagi pihak akak.” Senyumannya tetap tak lekang.

Kelibat Kak Arra yang hilang dibalik pintunya di hantar dengan pandangan pelik. ‘Biasanya kalau dia overload, dia just kacau orang jer.?’
  
Dan kini, dia benar-benar pergi bersama senyuman terakhirnya yang tetap terpahat indah. Meneruskan kembara di alam barzakh, sebelum menamatkan perjalanan dikampung Masyhar.


********************


“Mana semua orang? Apesal kau nangis?”

Aimi diam, mengawal sendu. Bacaan Yassinnya agak tersekat dek tangis yang kedengaraan.

“Woi! Yang kau baca Yassin pepagi raye ni pekehal? Buang tebiat hape?!”

Pintu bilik Arra yang terkuak dari dalam mengalihkan tumpuan Hafizul Amar.

“Kenapa kau balik?”

“Yang kau sebok kenapa? Ada menyusahkan kau?”

“Kau ada atau tak kat rumah ni tak de bezanya, tapi lebih elok kau tak ade. Tak la menyusahkan ayah ngan ibu!”

“Kau ni kurang ajar la budak!” Muka Jai pantas ditumbuk. Jai hanya diam. Tidak menyerang balik. Tumbukan demi tumbukan dilepaskan sepuas hatinya. Jeritan Aimi tak memberi kesan.

Jai akhirnya layu jatuh ke lantai. Hafizul seakan puas. Aimi pantas menerpa kearah Jai. Darah yang mengalir dari celah bibir abangnya disapu dengan terketar-ketar.

“Puas hati? Tahniah! Nafsumu pasti bersorak girang!” Perlahan dia cuba bangkit. Kertas kuning disaku ditarik keluar, pantas dicampakkan kearah Alongnya. Dia melangkah menjauh. Air mata perlahan menuruni lekuk pipi. ‘Akak jangan bersedih, hidayah itu milik-Nya.’ Sesungguhnya tiada daya upaya aku ya Allah melainkan dengan keizinan Mu ya Allah,yakni untuk perkara yang kecil pun bukan hak ku ya Allah, itu kuasa Mu ya Allah. Kini aku mengerti peritnya rasa itu.


********************


Kertas ditangan dibaca, dada bergetar hebat. Mata mula melilau ke sekeliling. Jeritan suara memanggil nama Arra bergema disegenap ruang. Kaki pantas melangkah menuju kearah bilik Arra. Pintu ditolak kuat. Jeritan suaranya kembali bergema, namun yang dicari masih tak dijumpai.

Dalam kebingungan dia mencari dengan jeritan suara yang masih setia dibibir, namun tiada siapa yang peduli. Seolah semuanya pekak lagi tuli! Kaki mula berlari tanpa arah. Mata meliar tajam ke sekeliling. Batin menjerit kuat. Hati meronta hebat. “Arra!!!”


*******************


Selesai bacaan surah Yassin, hati mengalunkan zikir. Masih cuba mencari kekuataan diri, masih cuba mencari semangat yang hilang saat menerima khabar kepulangan Kak Arra ke rahmatullah. Mungkin tanpa iman didada, saat ini pasti dia sedang meraung, dan meratap hiba. Dada yang ketat ditumbuk lembut. ‘Ya Ilahi pasrahkan hati ini dengan ketentuaan-Mu.’

‘Akak, Da’iey rindu akak! Patut la akak tak pernah jawab bila Da’iey call. Ibu selalu cakap yang akak busy. Da’iey rindukan kata-kata nasihat akak, Da’iey rindukan suara bebelan akak, Da’iey rindu akak sangat. Dua tahun kebelakangan ni, Da’iey terasa sangat dengan kesibukan akak. Saat Da’iey ada masalah, Da’iey tunggu akak on YM, tapi akak senyap, sepi sekali. Da’iey menangis sorang-sorang kak, Da’iey tak tahan sangat masa tu, serasa nak je Da’iey lari balik Malaysia. Saat tu kata-kata akak terngiang ditelinga, coretan-coretan email akak terlayar ditubir mata. Da’iey tetap menunggu. Mengharapkan balasan dari akak. Da’iey bangkit dari rebah. Da’iey kuatkan semangat, gagahkan diri mengharungi ujian-Nya, kerana pada saat tu hanya keluarga difikiran. Da’iey dah tak sabar nak pulang kak.

            …tak pernah tersangka, panggilan terakhir Da’iey tu adalah kali terakhir akak bercakap dengan Da’iey. Ramadhan terakhir…’


********************


“Pergi la masuk rehat, badan tu mesti penat.”

“Ye bu.”

Beg sandangnya dicapai. Kaki pantas menyusun langkah ke bilik. Di pertengahan jalan, spontan kakinya terhenti. Lama matanya terpaku dipintu bilik arwah Arra Humaira. Tanpa sedar, kaki menyusun langkah menghampiri. Pintu bilik perlahan dikuak dari luar, dan kaki mula menapak masuk.

‘Akakkk.’ Saat itu terasa arwah dekat sekali.

Penat  berdiri memerhati disegenap penjuru, kaki menyusun langkah ke sudut kanan yang menempatkan meja tulis. Tulisan-tulisan arwah yang terlekat didinding, dibaca satu persatu. Ketika mata berlari dipermukaan meja, tangan pantas mencapai sepucuk surat yang tertulis namanya.

Hampir lima minit terkaku, nafas ditarik perlahan. Dengan lafaz bismillah, tepi sampul dikoyak.

Assalamualaikum,

            Maafkan akak andai saat Da’iey pulang membawa segulung ijazah, akak dah pergi jauh. Kita hanya mampu merancang, dan DIA lah yang menentukkan segala-galanya. Akak tahu Da’iey mampu mengenggam segulung ijazah itu, dan akak ucapkan tahniah atas usaha dan penat lelah Da’iey selama berada di perantauan. (Akak tahu Da’iey kuat! J)

            Walau hampir dua tahun kita tak bersua, raut wajah Da’iey tetap tersimpan kemas disudut hati akak. Akak ada satu permintaan. Akak harap Da’iey jangan buang Along, walau sejahat mana, walau seteruk mana dia, akak harap sangat Da’iey jangan benci dia. Selagi mana Along tak dijemput kembali mengadap-Nya, selagi tu dia masih berpeluang untuk meraih taubat dari-Nya. Bantu dan bimbinglah dia. Akak hanya boleh harapkan Da’iey kerana pada saat ini, Along dah terlalu jauh untuk akak ajak berbicara. Dan semua itu tinggal sia-sia, kerana hatinya dah lama tertutup dek perbuatan-perbuatan maksiatnya. Dan diketika ini, kita hanya punya doa buatnya.

            Fidaiey Asyhfar, ingatlah, hidup kita bukan sekadar Islam pada nama. Tak juga sekadar mempraktikkan amalan yang asas. Selagi nadi kita berdenyut kita wajib mencari ilmu, bukan sekadar berpuas hati dengan apa yang ada di dada. Jangan hanya memahaminya secara serpihan yang terpisah-pisah dan sekadar meletakkan syarat. Kerana Islam adalah satu sistem hidup yang lengkap dan sempurna.

Allah s.w.t did not promise that life would be easy, but HE did promise to go with you…every step of our life, with HIM by your side.

Salam Ramadhan terakhir,
Arra Humaira Rashdan.
29 Ramadhan 1431H.


‘Ya Allah..’ 

Fidaiey Asyhfar jatuh menyembah lantai. ‘Berat ujian-Mu Ya Allah, ampunilah kami Ya Allah. Tak kan terhitung air mataku demi mengharapkan secebis keampunan-Mu.’

Dengan sisa kekuataan yang tinggal, dia bangkit. Langkah yang lesu diatur selaju mungkin.

“Da’iey nak pergi mana?” Ibu memandang bingung.

“Da’iey keluar jap Bu. Assalamuallaikum.”

Pada pusara arwah Arra Humaira kaki ternoktah, badan terlurut jatuh ke bumi. ‘Tabahlah wahai kakakku disana. Inilah suratan yang terpaksa kita telan walau pahit dan perit.’

Kepala didongak ke langit. Seakan terlihat bayangan arwah Arra tersenyum dalam tangis. ‘Maafkan Da’iey. Kepulangan kali ini, Da’iey kehilangan kedua-dua insan seibu dan sebapa dari hidup. Along pergi mengikuti jejak akak, tanpa sempat sinar hidayah itu menyapa hatinya. Along akhirnya tersungkur ditangan nafsunya kak.’ 

Air mata laju membasahi pipi. 

‘…perginya Along tanpa sempat membasuh noda zinanya, tanpa sempat tunduk sujud pohon keinsafaan pada-Nya. Dia pergi kak, dia pergi hanya beberapa jam selepas jasad akak dikebumikan. Pergi dengan keadaan yang sangat ngeri, dia digilis lori tangki minyak kak. Jasadnya hancur!’ 

Tuhan, tabahkan hati ini! Pasrahkan jiwaku, jangan biar aku hilang pedoman.

Sejuk tangan yang mendarat di bahunya memaksa dia berpaling.

Jai tersenyum sendu. “Janji Allah s.w.t itu pasti. Kematian itu tetap berlaku sama ada kita bersedia atau tidak. Detik itu menghampiri tanpa sebarang petanda dan itulah hakikat dan kepastiaan buat setiap yang bergelar manusia.”


**********************


Kiri kanan ditoleh,
Kosong!
Walhal suasana sesak dengan ragam manusia.

Pendengaran diamati,
Sunyi!
Walhal suasana bingit dengan pelbagai rencah suara.

Hati resah,
jiwa gelisah,
batin meronta hebat

Peluh mula memercik di segenap liang roma,
kaki di heret melangkah,
cuba menjauh
namun jasad tetap kaku

Hati resah,
jiwa gelisah,
batin meronta hebat

Tangan yang terkulai layu dikerah berfungsi,
jemari dipujuk berlari
Namun,
Semuanya sepi,
Seolah pekak lagi tuli!

Hati resah,
jiwa gelisah,
batin meronta hebat

Jasad kaku bangkit bersuara,
berlagu tanpa henti,
lantang mencaci,
lantang mengeji,
menuntut jawapan disetiap inci bakti yang diberi

Tubuh mula dibanjiri peluh,
angin yang bertiup dingin sekali,
mencengkam rapuh hingga ke tulang temulang!
Matahari yang megah memancar dilangit,
kini sejengkal tegak dikepala,
hangat membakar diri!
Hujan nikmat mencurah bertubi-tubi,
jasad rebah terkapai-kapai kelemasan!
Salji yang nyaman kini membeku,
menyumbat disegenap pembuluh darah!
Pelangi yang berwarna-warni,
kini pucat tak lagi berdarah!

Hati tunduk mengaku kalah,
jiwa menangis pilu saat api neraka menjulang megah
Segenap urat saraf menegang,
mata terbeliak,
mulut terherot,
dada kian menyempit,
Jasad hitam bersorak gembira!
AKHIRNYA manusia itu tumbang ditangan nafsunya.

Andai kata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan (Al Quran) mereka tetapi mereka berpaling dari kebanggaan itu. [Al- Mu’minuun]


Yang singkat itu WAKTU,
Yang menipu itu DUNIA,
Yang dekat itu KEMATIAN,
Yang besar itu HAWA NAFSU,
Yang berat itu AMANAH,
Yang mudah itu BUAT DOSA,
Yang susah itu SABAR,
Yang sering lupa itu BERSYUKUR,
Yang mendorong ke neraka itu LIDAH,
Yang berharga itu IMAN,
Yang ditunggu Allah s.w.t adalah TAUBAT.


Tidak ada hukuman yang lebih berat atas manusia selain kejahilannya tentang ilmu taubat, dan tak menguasai ilmu taubat itu. -Abu Thalib al-Makki.

Jadikan Ramdhan kali ini lebih bermakna, selagimana nadi kita masih berdenyut. Moga kehadirannya mampu merawat robekan dosa-dosa yang telah kita lakarkan.




Salam Ramadhan al-Mubarak,
–nk





Comments

Popular Posts