Kisah Qabil dan Habil
[Part 2]
Setelah anak-anak Nabi Adam sudah meningkat dewasa, anak-anak lelakinya merasakan keperluan untuk beristeri, sedang anak-anak wanita merasakan keperluan untuk bersuami, kerana memang demikianlah sunnah yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t yang menciptakan manusia dan semua makhluk berjiwa lainnya.
Walaupun masyarakat manusia di zaman Nabi Adam hanya baru terdiri daripada beberapa orang lelaki dan beberapa orang wanita sahaja, untuk memenuhi hasrat bersuami-isteri agar berjalan dengan teratur maka Allah s.w.t telah menetapkan beberapa syari’at yang harus dijalankan oleh setiap manusia yang menjadi anggota masyarakat kecil itu.
Ditetapkan Allah s.w.t syari’at bagi anak-anak Adam dan Hawa yang sudah dewasa itu, iaitu aturan yang sangat sederhana sekali. Qabil anak pertama boleh kahwin dengan adik Habil anak keempat, manakala Habil anak ketiga boleh kahwin dengan adik Qabil, anak kedua. Jadi masing-masing, Qabil dan Habil tidak boleh kahwin dengan adiknya sendiri.
Syari’at itu diwahyukan Allah s.w.t kepada Nabi Adam. Nabi Adam menyampaikan wahyu itu kepada isteri dan anak-anaknya yang berhasrat untuk berkahwin itu.
Syari’at itu diterima dengan segala ketaatan dan kepatuhan oleh Nabi Adam, Hawa dan anak-anaknya. Hanya Qabil yang tidak mahu tunduk terhadap syari’at yang ditetapkan oleh Allah s.w.t itu.
Iblis mendapat peluang yang baik sekali dengan perantaraan perasaan berahi antara lelaki dan wanita, dengan perantaraan nafsu dan keinginan hidup manusia.
Iblis berbisik kepada Qabil : Jangan kamu mahu tunduk kepada penetapan bapakmu yang tak adil itu. Adikmu sendiri jauh lebih cantik dari Adik Habil. Kenapa bapak menyuruh kamu kahwin dengan Adik Habil yang tak cantik, sedang adikmu yang cantik itu disuruh berikan kepada Habil untuk menjadi isterinya?
Kecantikan seorang wanita telah dapat dipergunakan oleh Iblis untuk menimbulkan perselisihan antara dua orang laki-laki yang bersaudara kandung itu. Hal ini bukan hanya terjadi pada diri anak-anak Nabi Adam dan Hawa pada zaman dahulukala, tetapi masih terjadi pada cucu-cucu Nabi Adam dan Hawa yang hidup di zaman moden ini.
Sebagai Ibu Bapa, Nabi Adam dan Hawa memikirkan bagaimana cara untuk memenuhi keinginan anak-anaknya dengan tidak melanggar syari’at yang sudah ditetapkan Allah s.w.t agar tetap hidup dalam keadaan aman, tenteram dan selamat di muka bumi ini.
Pabila syari’at Allah s.w.t dijalankan akan terjadinya perselisihan antara anak-anaknya. Dan bila keinginan anaknya yang dipenuhi, maka akan terjadinya pelanggaran terhadap syari’at yang ditetapkan oleh Allah s.w.t.
Kesempatan ini diambil Iblis untuk menjalankan tipu daya dan siasatnya. Perselisihan antara manusia sesama manusia adalah jalan lempang yang amat lurus bagi Iblis untuk sampai ke tujuannya. Kesempatan baik ini tidak disia-siakan Iblis!
Iblis berbisik kepada Qabil : Hai, Qabil! Janganlah lekas putus asa. Ada satu cara yang amat mudah untuk mengatasi jalan buntu antara engkau dengan adikmu Habil. Untuk menyampaikan hasrat hatimu kahwin dengan adikmu yang cantik itu, satu-satu jalannya ialah kamu bunuh saja adikmu yang bernama Habil itu.
Pada mulanya Qabil agak ragu-ragu terhadap cara penyelesaian itu. Beberapa hari lamanya Qabil termenung tak keruan, menyebabkan tidurnya tak berasa puas, dan makannya tak berasa enak.
Duduk termenung dan mengelamun merupakan tanah yang amat subur bagi Iblis untuk menanam tipu dayanya terhadap manusia. Orang yang duduk termenung, fikirannya menjurus pada satu jurusan sahaja. Dia lupa akan jurusan-jurusan lain dalam hidupnya. Apatah lagi kalau yang dimenungkan itu adalah hal yang tidak baik. Akan menyebabkan dia lupa akan masalah dirinya dan dia akan lupa akibat-akibat yang akan timbul dari perbuatannya itu.
Iblis berbisik kepada Qabil : Bunuh saja, hentam saja, jangan fikir panjang lagi!
Melihatkan keadaan dan gerak laku Qabil yang luar biasa itu menjadikan seluruh anggota keluarganya gelisah.
Nabi Adam : Jangan engkau turutkan ajakan Setan dan Iblis Qabil. Tunduklah kepada syari’at yang ditetapkan oleh Allah s.w.t yang telah disetujui oleh ibu dan ayahmu sendiri.
Habil : Lebih baik engkau mencari jalan yang hak, hai saudaraku, menempuh jalan yang membawa selamat, menjauhkan diri dari jalan yang membawa celaka dan kesengsaraan yang berlarut-larut.
Ketahuilah saudaraku, apa yang terjadi ini adalah syari’at dan takdir yang sudah ditentukan oleh Allah s.w.t. Ibu dan Ayah hanya semata-mata menjalankan perintah dan syari’at Allah s.w.t itu. Kita sekalian diciptakan oleh Allah s.w.t hidup di permukaan bumi ini adalah semata-mata untuk menjalankan syari’at dan untuk mengabadikan diri kita kepada Allah s.w.t yang menciptakan kita. Sungguh engkau akan berdosa bila keluar dari jalan yang hak sudah ditentukan oleh Allah s.w.t. Maka lebih baik engkau minta ampun atas dosamu itu sebagaimana saya selalu minta ampun dan menyerahkan nasib dan untungku seluruhnya kepada Allah s.w.t yang menciptakan seluruh alam ini.
Nasihat yang bagaimana jua baik dan benarnya, rupanya tidak berbekas pada jiwa yang penuh nafsu yang sedang bergelojak membakar.
Qabil dengan garang mendekati Habil : Engkau jangan banyak bicara. Engkau pasti saya bunuh.
Habil dengan hairan : Kenapa aku akan engkau bunuh?
Qabil : Kerana ayah dan Allah s.w.t lebih suka kepada engkau.
Habil : Dengan membunuh saya, keadaan tidak akan berubah, malah ayah dan Tuhan akan semakin marah kepada engkau.
Qabil dengan garangnya : Aku tak peduli, engkau pasti aku bunuh agar senang hatiku.
Sekali pun Habil jauh lebih kuat badannya dari Qabil, kerana budinya yang tinggi dia tetap bersabar.
Habil : Sekalipun engkau telah mengacungkan tangan untuk membunuhku, saya tetap tidak akan menggerakkan tangan untuk membunuhmu. Saya takut kepada Tuhan Semesta Alam.
Kemudiannya, Habil terus berjalan menuju tempat kediamannya, Qabil mengikutinya dari belakang dengan hati yang marah.
Dicubanya tidur, namun matanya enggan. Semalaman dia tak sepicing juga dapat tertidur. Dadanya terasa berbara. Di saat ini, datanglah si Iblis meniup-niup hatinya yang sudah panas itu, “Bunuh Habil, bunuh Habil, bunuh Habil!”
Di waktu pagi seperti kebiasaannya, Habil bangun dari tidurnya. Dengan perasaan lega dia menuju ke padang rumput menggembalakan ternakannya. Qabil yang sedang diperkuda oleh Iblis dengan sembunyi-sembunyi mengikutinya dari belakang.
Di kala matahari, bulan, bintang-bintang beredar di angkasaraya menjalankan perintah Tuhannya, di kala burung-burung berkicau bersiul berterbangan ke sana ke mari menjalankan tugasnya masing-masing sambil bertasbih mensucikan Tuhan Yang Maha Suci. Qabil dengan mengepal dahan kayu yang amat keras dan berat memukul kepala Habil dai belakang sekeras-kerasnya.
Darah bertumpah dan mengalir membasahi permukaan bumi buat pertama kalinya. Habil menjerit kesakitaan, badannya terhempas ke bumi dan menggeletar. Terjadilah apa yang disangsikan para Malaikat terhadap manusia, ketika Malaikat diberitahu Allah s.w.t bahawa manusia akan diciptakan Allah s.w.t untuk menjadi khalifah di atas bumi. Malaikat sangsi bahawa manusia akan berbuat binasa di bumi dan akan menumpahkan darah. Kesangsiaan itu kini untuk pertama kalinya sudah terjadi, mungkin akan disusul pula dengan kejadiaan-kejadiaan kedua, ketiga, keempat dan entah sampai ke berapa kalinya. Bahkan pembunuhan itu bukan hanya dilakukan oleh seorang manusia terhadap seorang manusia saja, tetapi akan terjadi pembunuhan-pembunuhan beramai-ramai, beribu-ribu manusia dengan alat-alat pembunuhnya yang terkejam dan termoden akan membunuh beribu-ribu manusia lainnya, sama ada manusia yang bersalah dan tak bersalah, wanita atau anak-anak di bawah umur sekalipun.
Setelah melihat darah mengalir membasahi bumi, serta mendengar jeritan Habil yang mengilukan dan menyayat perasaan itu, maka Iblis yang menghasut itu tersenyum simpul lalu pergi meninggalkan mangsanya sebagai seorang yang menang kerana hasutan dan tipu dayanya sudah berhasil. Makin yakin ia akan kelebihan dirinya dan akan kelemahan dan kekurangan Bani Adam (manusia).
Seperginya Iblis laknatullah itu, Qabil mulai sedar akan kebodohan dirinya. Perasaan menyesal atas perbuataannya itu mulai tumbuh, muncul perlahan dari lubuk hatinya.
Teringatlah dia akan adiknya (Habil) adalah seorang yang baik dan tak bersalah apa-apa pun. Mulailah dia merasakan bahawa perbuatannya itu amat kejam. Di hatinya mulai timbul kesedaraan, yang dia telah bersalah besar. Tiada keuntungan yang diperdapatnya dari pembunuhan itu. Dan tidak mungkin pembunuhan itu akan membawa kesenangan hatinya, malah hatinya akan bertambah gundah. Dia merasakan sangat rugi dan kosong dari perasaan aman dan tenteram.
Apalagi setelah dilihat dengan mata kepalanya sendiri keadaan adiknya Habil yang menggeletar di tanah menghadapi sakaratul maut. Suara rintihannya semakin halus, dan akhirnya hilang lenyap. Seluruh anggota badannya semakin hebat menghempas ke kiri dan ke kanan menandakan rasa sakit yang tak terhingga. Nafasnya sesak dan seret, seakan-akan jantung dan paru-parunya sudah tak mampu lagi menghirup udara. Akhirnya seluruh bukit, gunung, jurang, pohon dan binatang apa saja yang Qabil jumpai seakan-akan turut mengejarnya dari belakang dan berteriak kepadanya “Pembunuh! Pembunuh! Pembunuh!”
Qabil lari dan terus berlari, tiada dapat merasa ketenangan dan kesenangan buat selama-lamanya. Dunia baginya adalah tempat pelarian dan ketakutaan, kerana dia sendiri yang membuatkan dirinya sebegitu, dan menyangkakan apa saja yang dijumpainya adalah musuhnya. Begitu susahnya di dunia ini, belum lagi dia dibalas diakhirat nanti!
Nabi Adam dan Hawa kehilangan dua orang anak sekaligus. Seorang meninggal dunia dan seorang lagi hilang tanpa petunjuk. Pada Habil yang telah meninggal dunia Didoakan kepada Allah s.w.t, “Ya Allah s.w.t, ampunilah dia, turunkanlah rahmat-Mu kepadanya di Alam Barzakh, dan berilah dia tempat di Syurga nanti.” Pada Qabil yanghilang, kedua-duanya tidak berputus asa, dan mengharapkan kepulangannya dengan kesedaraan dan keinsafaan terhadap segala kesalahan dan dosa-dosanya.
Pedoman : Iblis adalah musuh kita yang dapat melihat kita dan kita tak dapat melihatnya. dengan itu, perjuangan kita terhadap Iblis adalah perjuangan atau perkelahian yang tak setaraf. Tak ubah antara perkelahian dua orang manusia yang seorangnya dengan mata terbuka, dan seorang lagi dengan mata yang tertutup. Sudah tentunya orang yang mata terbuka akan dapat memastikkan kemenangannya, dan orang yang mata tertutup akan selalunya kalah.
Tetapi ingatlah, kita sebagai manusia ciptaan-Nya jangalah bersedih. Ingatlah Tuhan Maha Pengasih dan Maha Adil. Kepada kita (manusia) diberi Tuhan satu cara untuk membutakan Iblis, iaitu bila kita memohon perlindungan dari Allah s.w.t dengan membaca, “A’uzu billahi minasy Syaitanir Rajim.” Dan kepada kita (manusia) diberi kekuataan yang dinamakan Iman, iaitu kepercayaan penuh terhadap Allah s.w.t. Dengan keimanan yang kukuh, Iblis tak sanggup menggoda manusia, malah menjadi takut dan lari dari manusia yang beriman itu.
Mudah-mudahan kita semua dibawah perlindungan-Nya.
Comments
Post a Comment