Di kala Nafsu di Julang Megah



Kiri kanan ditoleh,
Kosong!
Walhal suasana sesak dengan ragam manusia.

Pendengaran diamati,
Sunyi!
Walhal suasana bingit dengan pelbagai rencah suara.

Hati resah,
jiwa gelisah,
batin meronta hebat

Peluh mula memercik di segenap liang roma,
kaki di heret melangkah,
cuba menjauh
Namun jasad tetap kaku

Hati resah,
jiwa gelisah,
batin meronta hebat

Tangan yang terkulai layu dikerah berfungsi,
jemari dipujuk berlari
Namun,
Semuanya sepi,
Seolah pekak lagi tuli!

Hati resah,
jiwa gelisah,
batin meronta hebat

Jasad kaku bangkit bersuara,
berlagu tanpa henti,
lantang mencaci,
lantang mengeji,
menuntut jawapan disetiap inci bakti yang diberi

Tubuh mula dibanjiri peluh,
angin yang bertiup dingin sekali,
mencengkam rapuh hingga ke tulang temulang!
Matahari yang megah memancar dilangit,
kini sejengkal tegak dikepala,
hangat membakar diri!
Hujan nikmat mencurah bertubi-tubi,
jasad rebah terkapai-kapai kelemasan!
Salji yang nyaman kini membeku,
menyumbat disegenap pembuluh darah!
Pelangi yang berwarna-warni,
kini pucat tak lagi berdarah!

Hati tunduk mengaku kalah,
jiwa menangis pilu saat api neraka menjulang megah
Segenap urat saraf menegang,
mata terbeliak,
mulut terherot,
dada kian menyempit,
Jasad hitam bersorak gembira!
AKHIRNYA manusia itu tumbang ditangan nafsunya.



Tidak ada hukuman yang lebih berat atas manusia selain kejahilannya tentang ilmu taubat, dan tak menguasai ilmu taubat itu.-Abu Thalib al-Makki.

–nk




Comments

Popular Posts