Bicara Segumpal Darah


Hari berganti hari,
minggu berganti minggu,
namun dia tetap pegun,
seolah dunia berhenti berputar,
jasad yang sempurna seolah lumpuh,
dada kelihatan berombak,
seakan tak mampu untuk menghela nafas

Jasad hanya diam kaku,
mata merenung kosong,
hati merusuh sendirian,
air mata setia di pipi,
penyesalan demi penyesalan terkeluh,
tiada sesaat redha menjengah

Keadaannya diibaratkan,
berat mata memandang,
berat lagi bahu memikul
manusia di sekeliling tak lagi di endah,
makan minum sekadar pengalas,
Oh dunia! Lihatlah penangan CINTA MANUSIA itu

Qalam yang dulunya intim dibibir,
kini hanya direnung sepi,
solat yang dulunya khusyuk,
tak lagi tenang bak air di kali,
hanya sekadar menunaikan kewajipan,
kencang bak kilat,
tiada khusyuk,
tiada tertib,
Kosong! Hanya pergerakan semata

Oh, manusia!
begitu sombong dirimu
saat hajatmu tak tercapai,
engkau merasakan begitu malang,
seolah-olah takdir itu kejam
dan pada nafsu kau tunduk mengalah
engkau benar-benar tak tahu bersyukur!

Sedarkah yang kau selalu mengundang murka dari-Nya?
Lihat saja pada amal mu,
sudah cukup kah untuk menampung dosa-dosa mu?
Apakah kau tak merasa malu menyalahkan takdir mu?
seolah engkau insan yang paling malang

Bicarakan pada segumpal darah mu ini!
Begitu agungkah cinta mu itu?
Hingga tegar engkau menyalahkan takdir mu?
Apa kelebihan cinta yang kau julang itu?
Sedangkan dia juga manusia,
ciptaan dari hinanya air mani!

Ah, tak kan ada yang mencebik,
andai cinta mu seagung Rabiatul Adawiyah,
seteguh kalimah syahadah Bilal bin Rabah,
dan seindahnya kasih Handzalah

Diibaratkan cita untuk berjuang di medan jihad,
jauh nun di Palestin
Baru dijengah dengan ujian sebesar zarah,
engkau tunduk menyerah kalah,
hanyut dibawa arus nafsu
Aduhai lelaki
kau bukan calon soleh,
untuk menagih syahid di medan sana!

Bicarakan pada aku wahai manusia!
Berapa lama kau mengenali perempuan itu?
Pasti tidak selama kau mengenali pencipta-Mu, bukan?
Pastikah engkau dialah tulang rusuk kanan mu?
Ah, kau sendiri masih terkapar mencari arah,
masakan bisa kau pasti dia jodoh mu!
Nah! lihat
CINTA DUNIAWI itu benar-benar berjaya menumbangkan semangat juangmu!

Maaf jika aku mencalar ego mu,
hakikatnya kau terlalu naïf wahai lelaki
Lihat wajah tua ayah mu,
lihat garis kedut ibu mu,
dan lihatlah dengan mata hatimu, ISLAM!
Bukakan seluruh rongga mu,
tebarkan seluasnya pandangan mu
Lihatlah kebenaran,
musuh ISLAM tak pernah gentar dengan senjata kita,
tapi tunduk menyerah kalah hanya dengan SEMANGAT JIHAD para mujahid ISLAM!
Bicarakan pada aku!
mampukah engkau menentang mereka?
Ah, pastinya aku lena di siang hari!
masakan mampu kau menentang mereka,
sedangkan pada nafsu mu kau sudah terkulai layu

Tidak ku nafikan,
manusia itu memerlukan CINTA,
kerana itu kurniaan nan indah dari Ilahi
tapi jangan kau rosakkan CINTA itu,
dengan kelalaian  hati mu dalam mempertimbangkan yang abadi dan sementara
Tak kan kau temui cinta hakiki,
selagi mata hati mu tertutup untuk mencari CINTA ABADI            
yang telah wujud dalam dirimu sedari azali

Wahai LELAKI!
Bangunlah dari lemahnya nafsu mu,
bangkitlah dari lagho sia-sia itu,
tak dijadikan DIA satu hal melainkan sesuai dengan kesanggupan hamba-Nya,
kerana DIA Maha Mengetahui

Sedarlah wahai LELAKI SOLEH 
tugas dan tanggungjawab mu bukanlah ringan,
bayangkan saja,
langit dan gunung pun tidak mampu membawanya

Lihatlah dengan mata mu,
orang yang lemah dan tertindas sentiasa menanti kehadiran mu,
mereka berdoa agar kamu segera tiba,
menjadi pembela dan penolong mereka
penegak SYIAR ISLAM!

Mengertilah
LELAKI SOLEH itu,
tak kan pernah tunduk kalah hanya kerana CINTA seorang PEREMPUAN!

Dengarlah bicara segumpal darah mu ini,
mengertilah,
bangkitlah,
pada pundak mu harapan tersorong,
pada tangan mu keadilan menanti,
pada setiap titisan darah sebagai saksi pengorbananmu

Wahai manusia
aku takkan sedih,
jika kau kecewa dengan hati mu,
yang tidak kuat menyintai Allah s.w.t
kerana sebenarnya kau takut untuk mendapatkan CINTA itu
kerana kau tahu siapa dirimu sebenarnya untuk meraih CINTA Allah s.w.t,
yang ternyata ramai yang berebut untuk mendapatkannya

Dan aku terlalu sedih
melihatkan kau lemah
tunduk kalah
hanya kerana CINTA MANUSIA BIASA
yang tak pernah bisa dibandingkan dengan CINTA-Nya yang terlalu agung itu
kerana pada saat itu,
hati ini terlalu lemah untuk mencelikkan mata hati ku,
untuk melihat kepastian CINTA SEBENAR,
kerana jasad mu mula menyerah kalah,
telinga mu dipekakan,
mata mu dibutakan,
dan saat itu aku hanya mampu menangisi nasib ku
kalah pada nafsu mu!

Ketahuilah,
CINTA  tanpa keberkataan,
hanya akan menghumban ke lembah kehancuran
kerana CINTA itu bersifat sementara,
yang hanya dipinjamkan-Nya untuk kau rasakan nikmatnya cinta sebenar pada-Nya
hanya tanggungjawab mengikat perhubungan dalam rumahtangga,
keberkataan adalah perencah kemanisan dan kebahagiaan rumahtangga,
DOA dan USAHA sebagai perisai saat badai melanda

Biarlah segumpal darah ini berbicara,
walau hanya menyumbangkan telinga mu,
walau hanya merabunkan mata mu,
walau hanya merimaskan jasad mu,
tak akan aku tangisi lagi,
pabila tibanya saat engkau tersungkur kalah,
kerana jihad juang ku tak akan pernah mati sebelum jasadmu bercerai dari badan



Biar nafsu sunyi tanpa godaan, biar kaki sunyi tanpa berjalan, tapi jangan biar akal sunyi tanpa ilmu dan jangan biar hati sunyi tanpa cinta kepada Allah SWT.

–nk

Credit to Naji, Baim and Nadi~

Comments

Popular Posts