Bintang dibalik Bulan






Idea: Dari Langit




Terjatuh dalam kayuhan larian, sakitnya hanya terzahir dek air mata.

Bingit manusia dan kenderaan yang bertali arus, tak mampu memujuk hati yang tetap menghantar basah dipipi. ‘Sungguh Tuhan,  aku tak mampu teruskan langkah tanpaMu…’

Memandang langit yang terkadang cerah dan berganti suram, hati ku menangis dalam khilaf yang terhampar didada langit. Betapa aku terlupa banyaknya jejak yang aku heret berdebu dosa. Sedang tika ujian menjengah, aku terhenyak bagai Dia tiada mengemudi jalanku.

Dari jauh aku menatap wajah itu. Raut yang banyak menguris hati ku saat aku sendiri rapuh menyusun langkah meniti hari. Abah, saat luka ku tak terzahir untuk aku pinta mu menjahitnya, aku hanya mampu memandang mu, berharap kau mengerti luka ku, moga ada secebis doa untuk ku, agar aku tak kecundang disitu. Dan kau jua manusia, yang letih meniti hari yang bernama kehidupan. Dan aku hanya mampu terdiam, menarik senyuman memujuk hati tika dingin mu membekukan aku dan raut ku mengundang amarah mu.

Tuhan, saat terlalu banyak persoalan yang terlontar dibenak, aku hanya membisu agar aku mampu mendakap Mu erat ke sisiku. Tuhan, rapuhnya aku dalam meniti dewasanya insan pada kematangan yang bernama kehidupan, air mata tak mampu lagi aku tahan, saat dalam tak sedar ia membasahi pipiku. Tuhan, saat dia jua menguris luka dihatiku, sungguh aku tak mampu meneruskan larian dan berdiri bagai tiada apa, kerana hanya dia insan yang aku melabuh dan menagih kasih. Dari saat kelabunya cerita ku hingga jejak kini yang makin rapuh dalam larian.

Abah
Saat aku tak mampu mengayuh larian ku
Pada raut mu mata melabuh

Abah
Saat aku bingung dalam kelabunya kotak hidupku
Cintamu menjadikan aku pejuang
Berjuang di medan kehidupan
Agar aku mampu bangkit
Meyapu air mata mu
Yang lama jatuh dipipi
Kerana ku…

Abah
Terkadang aku tertanya
‘Did I grow well for you?’
Dan aku tenggelam dalam lebatnya air mata
Saat aku tahu hakikat jawapan persoalan itu..

Abah
Maafkan aku
Banyak memarut luka dihati mu
Mengheret dosa dibahu mu
Moga kau tak dihukum oleh kesalahan ku
Moga aku lah yang menuntun mu diSana nanti..

Abah
Dalam nafas yang kini aku hela
Saat nyawa yang dulu bagai digarisan penamat
Ada janji ku padaNya
Janji yang menegakkan aku di medan kehidupan; kini
Untuk mu dan umi
Tiada lagi air mata dan lelah kerana ku
Dan untuk mereka saudaraku
Moga adanya aku mampu memalitkan senyuman diwajahmu
Tika saat aku pergi
Moga kemaafan kalian untuk ku
Saat aku tahu banyak luka yang aku parutkan pada kalian
Maafkan aku..

Abah
Tika aku mengenal makna cinta
Kasihnya dia menjadikan aku perindu mu
Melabuh pandangan diraut mu
Aku tersenyum bagai si gila
Saat pada mu ada dia yang aku cinta
Adakalanya membuatkan aku memujuk rindu padanya
Lantas lidah tergelincir
Menutur dia dalam memanggil mu

Abah
Tika kayuhan ku makin perlahan
Tertanya aku
Bagaimana aku
Andainya kau pergi
Jauh…

Abah
Saat aku merasakan hidup makin singkat untuk ku
Raut mu aku simpan kukuh dibenak ku
Senyuman mu aku dakap agar kurang rindu ku
Dan andai ku bercinta lagi
Moga kau lah cinta hatiku..

Abah
Terlalu banyak kisah mu
Yang aku ingin coretkan untuk dunia
Bukan kerana kau ‘the best father’
Kerana kau lah satu satunya
Insan yang Dia hadiahkan untuk ku
Menerima aku seadanya
Dalam hina yang tiada siapa sudi mengutip
Dalam khilaf yang tiada siapa peduli
Dan hanya Dia
Yang tahu
Betapa kau bererti
Buatku..

Abah
Ku tahu kau tak sempurna
Tak segagah ayah yang lain
Tak sekacak shah rukh khan
Tak sebaik bilal surau
Seringkali melukan aku
Dan kerana kau adalah kau; abah ku
Aku mencintai mu kerana Kasihnya Dia…


Tuhan, saat Kau membuatkan dia mengguris hatiku, aku terdiam menyerah bagai berada digarisan penamat. Dan saat ini Kau mengganti gurisan luka itu dengan senyuman saat air mata yang membasahi pipi tak mampu aku pujuk diam. Pada cerita yang terpahat kukuh dibenak ku, moga aku teguh meneruskan langkah..

Abah, gurisan luka mu dihatiku menjadikan aku pencinta yang setia bersimpuh memohon belasNya. Moga setiap kali aku rapuh, Dia tetap memujuk ku; tak jemu. Moga luka mu menjadikan aku insan. Moga luka mu tak membuatkan aku kalah pada payahnya kehidupan. Moga luka mu menjadikan aku rindu padaNya..


Buatmu Abah
Pada jalanan yang berliku
Moga Allah luruskan jalanmu
Tika langit dunia runtuh
Moga Allah teguhkan aqidahmu
Jika kesusahan mendatang
Moga Allah tabahkan hatimu
Bila nikmat datang menyinggah
Moga kau tak lupa untuk bersyukur
Saat anak mu membuatkan mu rebah
Moga Dia hadir menyapu air mata mu


Tuhan
Jagakan dia untuk ku
Dunia akhirat…


Untukmu Tuhan
Jangan pernah tinggalkan aku mengemudi jalanan ini keseorangan

–nk

Comments

Popular Posts