Ketika Aku Bermimpi Dan Pena Pun Menari

Idea| Dari Langit



“Arwah emak mak cik ajar satu perkara yang mak cik rasa penting dalam perhubungan.”


Wajah yang sedikit bergaris dimamah usia dipandang tak kalih. Tanpa suara.


“Arwah emak mak cik cakap, memang kita ada kehendak sendiri. Begitu juga dia, punya kemahuan sendiri. Kadang kadang memang kita akan rasa yang lelaki ini membingungkan. Tak mengapa. Kerana dalam sebuah perhubungan, sebenarnya kita tak perlu bersusah payah memahami pasangan. Cukup bila kita hormat pada dia, pada keputusan dia, kegemaran dia, dan kehendak dia.”


Bibir bawah diketap kuat.


“Kita perlu sesuaikan makna cinta pada kita dengan makna cinta pada dia.” Mata si gadis yang mula berkaca dipandang kasih. “Makna cinta pada kita adalah rasa indah bila setiap kali suaranya menyapa telinga, tersenyum dalam basah dipipi saat tangan menadah ke langit. Namun rupa rupanya pada dia, makna cinta adalah telefon bertanya khabar setiap hari, menghargai tarikh tertentu yang dianggap penting dalam hidupnya.”


Terik mentari tak lagi terasa saat pipi basah dengan air mata. ‘Dan mak cik tak tahu ana dah banyak kali buat silap tu…”


“Dalam perhubungan, kita tak boleh beranggapan dia pasti suka A, hanya kerana kita suka A.” Jejari yang sedikit menggeletar dek menahan tangis digenggam erat.


“Ana…”


“Tak ada manusia yang tak pernah buat silap Ana…” Bahu yang beralas telekung ditepuk lembut.


“Tapi Ana buat dia sakit.. berulang kali..”


“Dan sebab tu Allah selalu bagi Ana air mata supaya Ana akan nampak pelangi dibaliknya nanti.”


Wajah yang penuh dengan senyuman itu dipandang lama. Berharap setiap patah yang keluar dari bibirnya mampu dicerna. Terus ke hati.


************



Ketika kayuhan ini makin perlahan
Aku hanya mampu berharap
RahmatMU datang memeluk ku erat
Agar esok aku masih lagi teguh
Bernafas sebagai hambaMU Rabbi…


Saat aku tahu
Tak mungkin aku kan kembali berlari
Tanpa Engkau yang meneguhkan aku dihari
Duhai Illahi
Untuk detik yang masih lagi KAU takdirkan milikku
Terima kasih Tuhan ku…
Untuk setiap nikmat rahmat dan kasih sayang yang KAU beri…
Kerana selamanya
Aku tak kan pernah henti
Menjadi pendosa yang mengharapkan keAmpunan-MU


Dan bagaimanalah aku
Andai tiada MU disisi
Tuhan ku…


***********


Kesilapan
Mendewasakan seorang gadis yang dulu kerap terpinggir


Di jalan hitam yang dilalui
Dia berulang kali jatuh pada lopak yang sama
Terkadang dia hanya terduduk lama
Cuba mencerna bingung yang seakan tak mahu pergi
Dan akhirnya dia menangis sendirian.


Kerana kasihnya DIA
Lalu diperintahkan sang hujan turun membasahi bumi
Membuatkan sang gadis terpaksa berlari mencari teduhan
Sayangnya dek tersalah langkah
Sang gadis jatuh terduduk didalam lopak
Ditengah tengah hujan yang semakin melebat
Dan dia tak lagi menangis.


Kerana kesilapan
Membawa gadis itu belajar berdepan dengan kenyataan
Walau pahitnya jatuhan sering membuatkan dia terluka
Dia tetap tersenyum
Saat kini dia mampu menari dalam lebatnya hujan yang singgah
Kerana hatinya menyakini Tuhanlah Yang Maha Esa


Terima kasih Duhai Illahi

–nk


Comments

Popular Posts