Takdir Illahi








Untuk kesekian kalinya aku termangu disimpuhan. Terbata dalam emosi yang kadang terluah bersama air mata. Tika hanya Dia Yang Maha Mengerti.



Tuhan..
Untuk rasa ini, maafkan aku saat aku tak mampu menelannya walau ku tahu tetap dariMu ia datang. Berkali aku bisik teguh Illahi..dan berkali aku terjatuh. Pada luka yang sama. Pada tangis yang serupa..

Tuhan..
Pahitnya takdir yang Kau lukis mencampakkan aku dalam lautan syukur, sabar, maaf dan yakin yang aku tempuh dalam karamnya emosi saat tikaman itu harus aku telan tanpa menyakiti, tika mereka insan yang aku sayangi..

Tuhan..
Untuk hentian yang sebentar ini, aku sedar Iman ku belum teruji dan aku dah hampir karam kelemasan. Untuk simpuhan yang masih diberi kesempatan, moga dalam ketenanganMu aku mampu melepaskan segala galanya..

Tuhan..
Lagu cinta yang aku persembahkan padaMu tak seindah nyanyian yang sering aku nyanyikan..maafkan aku Illahi untuk erti syukur yang masih aku tak mampu lewati..

Tuhan..
Menggali kemaafan saat ini bagaikan aku meraba dalam kegelapan. Sejujurnya aku tak mampu..tanpa belas Kasih Mu Illahi..bantu ku Ya Rabbi...

Rabbi..
usia yang mentah menyaksikan aku dalam kisah yang penuh dendam..untuk ruang yang masih ada, ku harap moga luka ini tak mencampakkan aku kembali melewati hitamnya jalan yang dulu aku lalui.. Andai kemaafan itu membunuh aku perlahan lahan, aku mohon limpahankan belas Kasih Mu, moga perginya aku dalam kemaafaan yang menjadikan aku mulia dan diKasihi Mu..


Tuhan..
Untuk dia..kau labuhkanlah Kasih Mu moga Dia mengerti pahitnya kasih yang tak terucap yang dibalas dengan kepalsuan; moga dia mengerti nilai sebuah kejujuran. Untuk setiap saat yang aku cuba tanamkan kebencian, aku terpaksa akur pada KekuasaanMu yang menjadikan kasih sayang itu penawar yang melarutkan kebencian yang membuatkan aku menangis cukup hanya dengan memandang dia.. Maafkan aku..yang menjadikan mu begitu saat itu yang kau sering lagukan..dan sungguh setiap kali itu aku terhenyak bagaikan kayu mati yang terdampar; tak berguna..

Tuhan..
Untuk kesilapan ku yang menjadikan dia terluka, Kau gantikanlah yang terbaik dari ku untuk dia..

Tuhan..
Seandainya masa itu mampu ku beli..mungkin aku pinta jalan yang berbeza, yang tak menjadikan dia membenci ku..

Illahi..

Memandang langit Mu

Kau ku rasa teramat dekat..


Illahi..
Simpuhan ini meyaksikan aku
Pendosa dan perindu yang mendambakan Mu..
Hari hari ku..

Tinggallah duka dan luka
Moga Kau sentiasa ada untukku..



Illahi Rabbi..
Untuk setiap insan yang menghentikan jejak dihari hari ku walau hanya seketika
Kau jagalah dan kasihi mereka sepertimana Engkau mengasihi orang orang yang terdahulu..
Saat aku belajar menerima luka ini, hati ku mengerti kasih yang aku tagih bukanlah milikku
Dan untuk setiap insan yang kau labuhkan kasih Mu pada ku
Terima kasih Illahi...
Cinta mereka terlalu dalam menyentuh hati kecilku
Saat aku teruji dengan hakikat cinta yang mengecewakan aku pada seorang insan yang berkongsi darah daging yang sama..

Illahi..
Dan kerana dia yang pernah meniti kedewasan bersama larian kaki ku, untuk luka dan air mata yang pernah melewatinya, bahagiakan Dia dengan Rahmat dan Keampunan Mu Duhai Rabbi.. 

Duhai insan..
Saat kaki mu pergi menjauh
Membawa kelukaan yang menuntut sebuah pengorbanan
Buat pertama kalinya air mata ku menitis..
Bersama iringan langkah mu
Hanya titipan doa yang mampu aku lagukan buat mu..
Dan kau makin jauh
Jauh yang menghantar kelukaan setiap kali bicara mu yang menyapa corong, dingin bagai aku berbuat salah
Dan aku telan sendiri, memujuk diri yang makin terasa kerdil saat satu persatu Dia bentangkan pada ku..
Tentang hakikat..
Pergi mu yang mengundang air mata ku
Dan kepulangan mu yang mengundang robekan luka yang membuatkan aku lumpuh dari tangis, hanya mampu membenci diri sendiri..

Saat kau dendangkan isi hati mu
Kau meminta aku mengerti pada yang bernama khilaf
Meminta aku menyambut pengertian itu tanpa tangisan, kerana kau terluka..

Dan saat aku merayu secebis kejujuran mu
Kau menghadiahkan ku dengan amarah saat kebenaran yang berbicara..
Dan sungguh aku tak pernah menuntut sebuah kebenaran saat aku tahu aku tak kan pernah mampu menelannya..
Dan sungguh kejujuran itu bagai wayang yang tiada nilai bagi mu..

Insan..
Untuk setiap saat yang memaksa aku ketawa dan tersenyum, kau bagaikan terlupa aku jua terluka setiap kali kau meluahkan rencah emosi mu; memaksa aku menahan air mata ditengah lautan manusia yang tak mengerti..

Kala dulu aku sering mengalah kerana usia yang menjulang kau sebagai 'kakak' ku
Maafkan aku saat ini aku tak mampu menjadi 'adik' yang dulu
Tika cinta ini bukan sepasang baju yang kau rebutkan dulu..

Untuk kisah mu
Kau meminta aku memahami
Seakan kau lupa aku jua punya kisah
Seakan kau lupa aku jua wanita yang rapuh
Seakan kau lupa aku jua diuji
Seakan kau lupa hitam putih jejak yang aku telan sendiri 
Seakan kau lupa hakikatnya aku juga 'bersendiri' meniti hari..
Hakikat yang menjadikan kau dan aku saksi..
Saat hanya dia  satu satunya yang meniti dibibir hari hari ku
Yang mengenalkan aku tentang cinta..




Tuhan..
Untuk kisah ini moga tertanam menjadi abu..


Takdir Illahi.


Melukis kisah ini; pahit saat aku masih tenggelam dalam luka dan indah saat aku kan mengerti erti redha tiba. Dan saat ini aku masih terdiam. Mencerna makna takdir. Membaja sang sabar. Menjahit luka yang terparut. Memujuk Iman dari terhempas. Merayu kasihNya. Moga aku tak karam dijalanan takdir ini.. Moga satu saat nanti indah itu akan memadamkan parut luka yang terguris.. Moga saat itu tiba dalam kesempatan yang Kau takdirkan milikku..


–nk

Comments

Popular Posts