Dibalik Hijab
Dalam kebebasan dan keterbukaan yang kononnya menegakkan sebuah prinsip,
ada rasa yang hilang dalam kehidupan yang hampir sempurna. Bertingkah antara
nafsu dan sedar. Kadang dibalut yakin. Kerap kali terdiam dek ejekan hina.
Lemahnya diri mematikan asa yang menyapa. Pada siapa bahu nak
disandar; kala hanya bahasa hati yang memahami? Pada siapa nak diharap
mengemudi; kala jalanan mereka jua penuh onak duri?
Dan hanya tangis yang menemani..
Tangis yang bersulam ketakutan
Tangis yang terukir sebeban kehinaan
Tangis yang bermulanya pengharapan
Tangis yang mencampakkan jasad kembali pulang ke pangkuan
sang fitrah
Tangis yang mengakui DIA sebenarnya Yang Esa..
------------------------
Dibalut sempurna pada kewajipan; ukirannya indah. Terpasak
keyakinan dalam langkah. Ada doa yang mengiringi. Ada senyuman dan tangan yang
menghulur walau kehidupan tak terlakar seindah potret didada kanvas; hati tahu
cukuplah hanya DIA.
Dibalut indah kadang mengalpakan; mahar madah yang dilafaz.
Pada kata diri teruji. Pada amal diri dinodai. Jalan yang kian kelam nampak
terang. Tercungap lemas namun kelihatan selamat.
Kerap diingat sang mulut
Kerap dijaga dari si lena
Namun biasnya hanya bagai angin yang berpuput kejap
Dan jua ada tangis
Namun lagunya tak sampai ke hati
Terkadang terbias lantunan pengharapan
Namun kerap dibisukan dengan kebatilan
Dan dimana kemegahan yang menghalalkan tawaku pada mu?
Saat hakikat memandang aku lebih hina dari mu..
-------------------------
Dibalik hijab
Aku menyelam ke dasar
Mencari ketulusan yang dilupakan
Meninggalkan luaran yang dipenuhi tipu daya
Saat aku dijagakan dengan hakikat
Hakikat luaran semata
Yang membunuh aku dalam lautan riak
Menghalalkan dada didabik ke langit
Lantang menjatuh hukum
Sombong!
Dibalik hijab
Aku mengenali mu
Terjaga dalam lena yang panjang
Tersedar aku jua sang hamba yang mencari keredaan Tuannya..
Dibalik hijab
Aku belajar
Kemuliaan itu datangnya dari hati yang tulus
Saat pipi dibasahi air mata bukan kerana gahnya tutur kata
Tapi rintihan kehinaan lemahnya seorang hamba..
Dibalik hijab
KITA mengenal DIA
Berkongsi rasa yang hanya dimengerti sang hati
Menangisi cerita yang sama
Cerita pendosa memohon keampunan Tuhannya..
-----------------------------
Kau dan Aku
Mendendangkan tangis yang sama
Dalam luka yang berbeza
Kau dan Aku
Menjalani kehidupan yang sama
Dalam ujian yang berbeza
Saat padaNYA Yang Satu KITA mencari REDHA
Saat padaNYA Yang Satu KITA pasti akan KEMBALI..
Teguhlah dirimu dan diriku
Moga DIA menuntun ke akhir nafas
Saat padaNYA Yang Satu KITA pasti akan KEMBALI..
Teguhlah dirimu dan diriku
Moga DIA menuntun ke akhir nafas
–nk
Comments
Post a Comment