Duhai pendakwah



Wahai pendakwah
Diri ini sedar layaknya dimana harus berdiri
Tuturku banyak yang sia-sia
Hati daif tentang makrifat-Nya
Iman senipis kulit bawang…sering kali goyah kala ujian menyapa

Aku hanya insan da’ie
Selalu hilang ditengah tenatnya dunia
Buta dalam cerahnya siang
Tuli dalam jelasnya pendengaraan
Bingung dalam jaganya siang

Wahai pendakwah
Hati kecil ini kadang terpanggil untuk mendekat
Jiwa seakan bergetar halus saat alunan syair merdu berkumandang
Akal pantas merungkai kata, “Masihkah ada kesempatan itu?”
Kaki seakan ingin berlari mendekat
Namun jasad hitam berbisik pantas, “Layakkah dirimu?”
Kepala melurut jatuh ke bumi, “Aku keliru..”

Saat senja nan merah menyapa
Alunan syair itu kembali menyapa telinga
Hati serasa sejuk bak disirami salju
Aku melangkah cuba menghampiri
Menyimpan resah, menolak malu
Turuti kata hati yang menjerit nan meminta

Kini aku terpaku
Daerah yang ku redahi tersangatlah asing
Sucinya tak terungkap dek mata
Damainya tak ternikmat dek deria
‘Subahanallah, Maha Agung Kuasa Mu Ya Allah s.w.t.’
Buat pertama kalinya bibirku tersenyum indah
Sinar cerah melambai indah,
Menyapa hati yang telah lama kelam

Namun
Langit tak selalunya cerah
Bintang tak selalunya bersinar terang
Ternyata untuk meraih cinta-Nya payah
Dan kini, pertengahan jalanku rebah

Sungguh dunia sangat menakluk
Pada megahnya dunia, cacian lantang bersuara
Pada gemilangnya dunia, hinaan adalah lumrah
Yang hina dicampak jauh ke lembah
Yang khilaf tetap diprejudis salah
Tiada ruang, tiada daya, tiada kesempatan
untuk bangkit dari tenatnya dosa semalam

Dalam kepayahaan mengawal sendu,
Kaki diheret menjauh walau hati menjerit marah
Tempat itu takkan pernah jadi milikku
Mengertilah wahai hati

Dalam kebingungan, aku meniti hari
Masih disini, ak bergoyang walau sedetik
Pada nafsu hati melawan bicara
Akankah aku menyerah atau terus bangkit berlari?
Namun tiada yang ku temui
Melainkan lorong yang kelam lagi suram

Pada jasad, hati lantang menuntut jawapan
“Begitu hinakah aku? Apakah khilafku tiada maafnya?”
Oh diri
Haruskah aku terus bersembunyi
Menutup hinanya diri
Menjauh dari tajamnya pandangan dan kata-kata
Akankah ia menjanjikan sebuah ketenangan yang abadi?

Hati seakan tak mengerti
Enggan memahami walau berkali dimarahi
Di daerah asing itu kaki kembali ternoktah.
Sekadar merenung dari kejauhan
‘Ah! Hati ini memberontak lagi’
Tak pernah jemu memujuk diri agar menghampiri
Namun jasad kerdil ini tak mampu menuruti,
Tunduk ke bumi penuh hina
Dalam kesyahduaan benak bertanya,
“Mengapa diri yang serba kekurangan dan jahil ini sering diamuk hina?
 Apakah kejahilaan silamku tiada maafnya?
 Apakah ruang taubat itu tak layak buatku?
 Pada siapa harus ku paut saat hati mencari sinar keinsafaan, andai memandang jasad kerdil ini dirimu sudah mencebik pantas.”

Wahai pendakwah
Pada siapa harus ku tunding amarah?
Pada siapa harus ku jerit salah?
Kerana sedari lahirnya aku ke dunia tak siapa yang peduli
tak siapa yang mengerti
tak siapa yang membimbing
Lautan duniawi ku redahi berpasakkan kekuataan diri cuma
tiada penyuluh
tiada yang sudi menuntun

Wahai pendakwah
lihatlah sekelilingmu
amatilah dengan seluruh anggotamu
ketahuilah,
tak semua orang beruntung sepertimu
tak semua orang mampu meraih manisnya iman sepertimu
Janganlah kau megah dengan kelebihanmu itu

Dalam kepiluan yang mencengkam kaki dipaksa melangkah
‘Ya Allah, tak terucap rasa yang mencengkam dadaku ini’
Pada indahnya alam ciptaan-Mu
Secebis ketenangan digapai
Agar hati bisa merawat luka yang terlakar
Moga ku temui jalan-Mu Ya Rabbi

Wahai pendakwah
Jangan kau amarah, andai ada yang mencebik ke arahmu
Kerana kau sendiri yang palitkan kotoran itu pada wajahmu
Jangan kau melenting saat tudung labuhmu hilang kehormataannya
Kerana kau sendiri yang menodainya
Malulah engkau pada egomu yang telah mengheret seluruh kerajaan dakwah dalam kamar hakim dunia!

Apa yang kau megah dengan ilmu didadamu,
Andai hanya bersuara lantang bila tergugat
Apa yang kau megah pada pakaianmu,
Andai hatimu tak sudah megundang jengkel
Apa yang kau juangkan pada jalan dakwahmu,
Andai dirimu sering memandang hina pada yang lain
Bisa apakah kau mengharapkan dirimu dihormati
Sedangkan seri hatimu terpancar nyata diraut wajahmu
Tak perlu kau megah mendongak ke langit,
Hanya untuk bersuara nyaring!
Kerana jalan dakwah itu suci
Bukan medan untuk kau pasakkan kemegahanmu

Mengertilah
aku bukan mengharapkan simpatimu
tak juga menagih belas ihsanmu
aku hanya ingin mengemis curahan ilmu didadamu,
agar bisa aku merasakan manisnya Iman sebelum kelopak mata terpejam rapat

usah khuatir
pada hatiku tiada dendam
pada doaku tiada amarah
ku sedar dirimu jua manusia yang selalu khilaf
ambil la masa untuk kau renunginya kembali
moga dapat kau kutip kembali kesucian nawaitumu pada jalanan dakwahmu


Nukilan khas buat 'INSAN'
–nk


~Seseorang pendakwah, sebelum melangkahkan kakinya ke medan dakwah, terlebih dahulu hendaklah melengkapkan dirinya dengan sifat-sifat pendakwah muslim dan memahami jalan sebenar yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. Tanpa kefahaman yang jelas, maka pendakwah itu akan menghadapi kesukaran yang sepatutnya boleh dielakkan. 

Sifat-sifat pendakwah muslim yang perlu ada antaranya iaitu budi pekerti mulia, lurus perilakunya, sifat kepimpinan yang sihat, tekun dan penuh keazaman, berperasaan kesihan belas dan tegas, benar dan amanah, kecerdikan, beramal solih yang berkekalan, kesedaran, berupaya memberi penerangan, berupaya menyelesaikan masalah masyarakat serta dapat memhamami jiwa individu dan masyarakat. Disamping itu dapat memahami perasaan orang ramai dan mendapat kasih sayang, penghargaan dan penghormatan dari masyarakat terutama sekali dalam jurusan agama. 

Oleh itu kita sepatutnya meneliti metod dakwah yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w., diantaranya apa yang disebut dalam surah Yusof ayat 108, maksudnya : "Katakan olehmu (wahai Muhammad), inilah jalanku, yang aku dan mereka yang mengikutku menyeru ke jalan Allah dengan basirah dan Maha Suci Allah, dan tidaklah aku tergolong dari golongan musyirikin." "Basirah" menurut Dr. muhammad Fathullah badran membawa erti : "Ilmu yang luas, hujah-hujah yang kuat, pengetahuan hati, kesedaran, kefahaman yang dalam, memelihara hal keadaan orang yang didakwahkan dan menggunakan kata-kata yang jelas." Dan "salbi" (inilah jalanku) itu tidak lain melainkan jalan yang satu iaitu Islam yang padanya diberi panduan iaitu Al Quran dan al Hadis Rasulullah s.a.w. Ini dijelaskan oleh Allah sendiri dalam firmanNya surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud : "Dan bahawa inilah jalanku yang lurus maka hendaklah kamu sekalian mengikutinya dan janganlah engkau ikut jalan yang berbagai-bagai kelak ia memecah-belahkan kamu sekalian dari jalanNya.

Itulah pesanan buat para pendakwah sekalian, mudah-mudahan kamu bertaqwa."Walaupun nampak sukar, tetapi itulah asas yang digariskan oleh baginda dalam penyebaran dakwah yang diikuti oleh para sahabat dan generasi kemudian. Maka sewajarnyalah ia menjadi azimat buat para daie terkemudian bagi meneruskan kerja-kerjamulia itu.~

Comments

Popular Posts