Mujahadah Wanita-Antara Kemuliaan dan Kepalsuan duniawi.[Full]
Dalam keheningan pagi, dikala embun masih lagi menitis membasahi muka bumi yang gersang, disudut kamar yang suram yang hanya diterangi cahaya rembang pagi, Nur Rabiatul Adawiyah berteleku di tikar sejadahnya. Persoalan yang sesak dibenaknya sejak seminggu kebelakangan ni benar-benar membuatkannya buntu. Segala pekerjaan yang dilakukankannya seakan kosong tanpa perasa.
‘Apakah memang benar lelaki sekarang tidak boleh diharap? Atau wanita sendiri yang tidak tahu fungsi sebenar mereka? Apakah gejala-gejala sosial itu hanya diomong sebagai petanda kiamat semata-mata? Tak perlukah puncanya diteliti, tak perlukah kerosakan itu ditampung? Hanya cukup sekadar mengetahui hakikat itu adalah salah satu petanda kecil kiamat? Mengapa perlu mengalah, andai kaki belum pun melangkah setapak ke medan jihad…
Kata-kata Abraham Lincoln tiba-tiba menerpa dibenak. ‘Jangan tanya apa yang dibuat oleh negara untukmu, tapi tanyalah apa yang boleh kamu buat untuk Negara. Ya, mungkin benar kata-kata beliau. Masalah sosial ini tak kan selesai waima berjuta jari menunding ke arah pemimpin dengan pelbagai hentaman… Yang hanyut akan tetap hanyut dibawa arus. Yang teroleng, masih lagi terkapai-kapai mencari arah…’
*********
Matahari yang mula mengintai disebalik awan diperhatikannya ralit. ‘Subahanallah…cantiknya ciptaan-Mu Ya Allah s.w.t…’ Kaki yang lesu diheret perlahan menyusuri gigian pantai. Dalam kepayahan mengawal emosi, air matanya tumpah lagi buat kesekian kalinya. Tubuhnya yang telah kehilangan jasad rebah tersungkur ke bumi…tak lagi mampu meneruskan langkah kaki yang kian sumbang.
‘Ya Allah, maafkan aku. Sungguh aku tak kuat dengan ujian-Mu ini. Dimana harus aku cari kekuatan, andai bukan dari-Mu… Bagaimana harus aku bangkit tanpa pertolongan-Mu… Hilang kan kesakitan yang mencengkam ini Ya Allah…pasrahkan sekeping hati ini. Balutkan kembali luka-luka yang tercalar. Jangan biarkan hati ini berpaling dari-Mu Ya Allah…sesunggguhnya aku tak mampu menghadapi, andai detik itu benar-benar terjadi…
Aku jahil dalam mendalami Qalam-Mu. Cetek tentang ma’rifat-Mu. Tak juga punya jaminan untuk meraih syurga-Mu Ya Allah. Ku mohon Ya Allah jangan Kau matikan aku dalam kekufuran…aku pinta Ya Allah…hanya Engkau yang Aku ada, hidup dan mati Ku semata-mata demi-Mu Ya Allah…
Ya Allah…tidak ku terdaya lagi menahan dugaan ini. Bantu aku redha akan ujian-Mu ini Ya Allah. Aku takut, aku lemah, aku lelah…Serasa telah ku temui noktah dalam kehidupanku. Hati kuat untuk mengakhiri segala yang telah terjadi, jiwa sekan mati menyerah kalah tanpa secebis mujahadah. Ya Allah, tiada kata yang mampu aku lafazkan… Aku mengharapakan sejalur kekuatan dan kasih sayang dari-Mu untuk aku pulihkan jiwaku yang segersang padang pasir ini…’
“Ya Allah Adawiyah! Kenapa ni? Kau ok tak?” Dalam tak sedar air matanya turut jatuh dari kelopak membasahi pipinya. Adawiyah yang terduduk di pasiran pantai dipeluknya erat.
‘Walaupun aku tak mampu menjadi seperti pemadam yang bisa memadamkan kesakitan dan kepedihanmu…izinkan aku menjadi pensel warna, agar dapat aku mewarnai kehidupan mendatangmu sahabatku, Nur Rabiatul Adawiyah…’
“Aku takut Mai…Aku takut aku tak kuat dengan ujian ini. Aku takut hati ini berpaling dari-Nya. Aku takut andainya jiwa ini hilang rindu pada-Nya. Aku takut saat nyawa aku diambil…aku pergi dalam kekufuran…” Maisara dipeluknya kuat.
“Kita sama-sama doa mintak dijauhkan. Selagi Allah s.w.t panjangkan umur aku, aku akan sentiasa ada disisi kau. Saat kau leka, aku akan kejutkan. Saat ko jatuh, aku akan tiupkan semangat. Saat ko tak berdaya, akan aku genggam erat tanganmu…”
Tubuh Maisara dipeluknya erat. “Terima kasih sahabat…kerana tak membuang aku saat aku dipenuhi dengan kotoran…”
Maisara pantas menggelengkan kepalanya. “…syuhh…aku tak nak ko cakap cam tu lagi. Ko tak pernah bersalah! Biar beribu orang datang mengatakan yang kau hina…selagi iman berpaksi didada aku, demi Allah s.w.t kau lah insan yang paling suci…”
Dalam kepayahan, Adawiyah mengukirkan senyuman. “Aku tak pernah kisah dengan pandangan orang…tak kan pernah termampu aku untuk menutup mulut mereka walaupun aku hidup untuk seribu tahun lagi. Aku cuma takut perhubungan aku dengan-Nya…bimbang hati ini goyah dipertengahan jalan…bimbang jiwa ini terheret dengan pautan nafsu yang kuat mencengkam… Andai itu terjadi, hidup aku sudah tiada erti… Jika redha dan cinta-Nya tak mampu aku gapai…apalah ertinya aku hidup sebagai hamba-Nya…”
Raut wajah Adawiyah yang basah dengan air mata direnungi Maisara. ‘Ya Allah, begitu hebatnya Engkau menduganya. Namun sebutir sesalan tak pernah termuntah dibibirnya. Subahanallah… Ya Allah, Engkau kuatkanlah imannya untuk dia menempuhi liku-liku kehidupan yang mendatang…’
Perlahan Adawiyah dipimpin menuju ke rumah usangnya.
*********
“Mak…tolonglah jangan ungkit pasal tu…”
“Dah. Kamu nak Mak buat apa? Mana Mak nak letak muka ni? Orang kampung dah bising tuduh mak bela anak haram! Harapkan pakaian yang sopan, tapi bawa benih haram…”
Nafasnya ditarik. Maisara beristighfar dalam hati. “Mak…dah berapa kali Mai cakap. Tu bukan anak haram. Adawiyah mangsa rogol!”
“Mak tak peduli! Mak nak kamu cakap dengan dia, suruh dia keluar dari rumah ni! makin hari makin sesak Mak dengan mulut-mulut orang kampung ni!”
“Mak….”
“Keputusan Mak muktamad!” Mak Lijah meninggalkan Maisara yang terduduk dikerusi dapur.
Disebalik tirai pemisah ruangan dapur, air mata Adawiyah mengalir laju membasahi pipinya. Air mata yang tidak henti mengalir cuba dihentikan. Hati mengalunkan zikir, memuji kebesaran-Nya.
***************
Selesai membersihkan muka dari sisa air matanya, perlahan dia mengatur langkah ke dapur.
“Mai…nak masak pe?” sebuah senyuman terhias disudut bibirnya.
Maisara terkedu. Air mata dipipi segera disekanya. Bibirnya pantas mengukir senyuman. “Err…kau nak makan pe?”
“Aku tak kisah la… Kita masak sekali?” matanya kelihatan bersinar, penuh mengharap.
Melihatkan Maisara yang terpaku, menyebabkan dahinya berkerut.
“Mai…” perlahan bahu sahabatnya disentuh lembut.
“Haa?”
“Aku tanya boleh tak kita masak sama-sama?”
“Ouh! Boleh!”
Melihatkan raut wajah Adawiyah yang penuh bercahaya, serasa air matanya tegar untuk tumpah buat ke sekian kalinya. Nafasnya ditarik perlahan mencari sedikit kekuatan.
**********
“Mai…” tangan Maisara ditariknya lembut, menghentikan langkah sahabatnya itu.
Maisara mengerutkan keningnya. Adawiyah dipandang dari atas ke bawah berulang kali. “Cantik ni nak ke mana? Pantai?”
Hanya senyuman manis terukir dibibir sahabatnya.
“Jom!”
Angin lembut yang menyapa, memberikan ketenangan pada setiap yang merasa. Adawiyah yang tersenyum ceria ralit diperhatikannya.
“Siti Maisara Fauzan…”
Dengan dahi yang berkerut, dia menjungkitkan keningnya ke arah Adawiyah.
Kedengaran tawa kecil terlepas dari bibir Adawiyah diikuti kepalanya yang tergeleng ke kiri, ke kanan. Seketika tangan Maisara dicapainya. Senyuman masih tidak lekang dari ulas bibirnya.
“Terima kasih untuk everything… Siti Maisara Fauzan adalah sahabat Adawiyah dunia dan akhirat…”
Maisara tersenyum, meski otaknya dipenuhi persoalan yang menerjah.
“Kau janji bila aku dah pergi, kau tak kan nangis.”
“…kau nak pergi mana?”
Adawiyah masih lagi tersenyum. “Dah sampai masanya aku mencari diri aku yang hilang…”
“Means?”
“Tak de pepe…”
“Wiyah please…kau nak pergi mana? Kenapa tiba-tiba? Kau tau aku sayangkan kau kan…”
“Mai…aku pergi bukan sebab dah tak sayangkan kau la dear!” sengihan mengusik dihadiahkan buat sahabatnya.
“Ishk!”
“…aku perlu hijrahkan diri aku. Aku perlu gali balik kekuatan yang dah terkambus. Aku perlu hadapi realiti.” Mulut Maisara yang ingin memotong katanya dihalang jemarinya. “Aku bukan berniat membelakangi kau. Cuma dah sampai masanya aku bangkit dari rasa takut yang mencengkam jiwa. Aku sangat menghargai pertolongan dan jasa kau kat aku selama ni…mungkin tak termampu untuk aku balas balik…”
Lama mereka saling bertatapan.
“Maisara…redhakanlah pemergiaan aku. Doa kan aku kuat untuk menempuh perjalanan yang masih kelam… Aku tak boleh hanya memandang ke bawah semata-mata untuk mengetahui kekuatan tanah yang dipijak sebelum memulakan langkah . Kerana dengan menetapkan pandangan ke arah horizon yang jauh dihadapan sahaja yang mampu membuatkan aku menemui jalan sebenar. Kisah silam bukan pengakhiran sebuah kehidupan. Andai aku hanya bersembunyi dibalik bayang-bayang, dan berharap kisah hidup aku kembali di terangi mentari…aku hanyalah ibarat Mat Jenin. Tak perlu untuk aku sesali apa yang dah terjadi, dan tidak pula untuk tangisi apa yang dah berlaku. Tapi dah tiba masanya aku bangkit dan bina kembali apa yang telah hilang, kerana ini adalah takdir hidup Nur Rabiatul Adawiyah Razman…”
Seusai berkata-kata. Tubuh Adawiyah kejap didalam pelukan Maisara. “Wiyah…kau sentiasa dalam doaku… Pergilah wahai sahabat. Bangkitlah dari kedukaan yang hadir…buktikan pada dirimu yang kau tegar untuk menghadapi ujian-Nya! Jangan pernah menyerah kalah, waima nyawamu menjadi korban! ‘Sesungguhnya Tuhanmu (pelindung) bagi orang-orang yang berhijrah sesudah menderita cobaan, kemudian mereka berjihad dan sabar; sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’” (Surah An Nahl:110)
“Thanks Mai…moga ukhuwah kita dapat mempertemukan kita kembali. InsyaAllah…”
“InsyaAllah. Jaga diri. Kalau kau nak mintak tolong, just call jer aku…”
Adawiyah menganggukkan kepalanya. Raut wajah sahabatnya direnungi buat terakhir kalinya. Bekalan buatnya, biar terpahat kukuh dihatinya…
“Mai…Kirim salam kat Mak Lijah dan adik-adik kau. Thanks sudi tumpangkan aku. Aku pergi dulu…”
Maisara yang dah basah dengan air mata dipeluknya. “Assalamualaikum…”
“Waalaikumusalam…” berat nafasnya, seberat matanya melepaskan pemergiaan Adawiyah.
Esakan Maisara merentap jantungnya….namun langkah tetap diteruskan, tak lagi menoleh ke belakang. ‘Maafkan aku wahai sahabat…’ Air mata yang mengalir dipipi dibiarkan…tak mampu diseka, tak juga mampu dihentikan…
‘Wahai hati…
Berjalanlah dengan penuh harapan kepada Allah s.w.t semta-mata,
Walaupun hidup ini tak selalu bahagia…
Sedekahkanlah satu senyuman,
Walau dihatimu tak mampu lagi bertahan…
Belajarlah memaafkan walau dirimu terluka…
Hiduplah dalam iman,
Walau hidup dipenuhi godaan…
Berpeganglah kepada Allah s.w.t,
Walau Dia tak kelihatan…bukti kasih-Nya, kita wujud didunia pinjaman ini…
Wahai hati…
Menangislah penuh pengharapan kepada Ilahi…
Pasti kan kau temui jalannya nanti…
Wahai hati…
Usahlah bersedih lagi,
Carilah redha-Nya,
Sematkan disudut hati…
Moga kasihnya menyinari hari-hari yang menanti…’
****************
Hampir tiga jam dia termangu dipondok menunggu di sebuah daerah yang asing, dirinya disapa.
“Assalamualaikum…”
“Waalaikumusalam…”
“Adik ok? Mak cik tengok dari tadi lagi adik kat sini. Adik ada masalah ke?”
Mak cik yang bertubuh agak berisi, bertudung biru dihadapannya dipandang bingung.
“Adik…?”
Dalam kebingungan senyuman ditarik pinggir bibir. “Err…saya baru sampai. Dan tak tahu nak pergi mana…”
“Hari pun dah nak senja ni. Bahaya anak gadis duduk sorang-sorang. Jom la ikut mak cik balik rumah. Nanti boleh la kita fikirkan masalah adik…”
Dalam ragu-ragu, kakinya mengekori langkah mak cik yang bertudung biru itu. ‘Ya Allah s.w.t…aku berserah pada-Mu.’
***********
Rumah banglo dua tingkat itu dipandangnya ralit. Ada kerutan yang terlukis di dahinya. Namun kakinya tetap mengekori langkah mak ck bertudung biru itu.
“Adik masuk la bilik ni dulu. Rehat-rehatkan badan, mak cik ada hal sikit. Nanti malam kita sembang yer…”
Adawiyah menganggukkan kepala. “Terima kasih mak cik.” Tangan mak cik bertudung biru itu disalaminya.
****************
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam…masuk la mak cik. Maaf Wiyah tengah solat tadi.”
Puan Hasmah tersenyum. Sejuk matanya melihat raut wajah dihadapannya kini.
“Maaf kalau mak cik bertanya. Wiyah ada masalah?” tangan Adawiyah dicapai dan diusapnya lembut.
Adawiyah tersenyum dalam kepahitan. Jejari tua yang mengusap lembut tangannya mengingatkan bondanya yang tercinta. Matanya dipejam sesaat, menyalur kekuataan. “Maafkan Wiyah kalau selepas mak cik dengar cerita ni membuatkan mak cik tersinggung. Cuma satu…terima kasih sebab pelawa Wiyah menumpang kat rumah mak cik…”
“Jangan cakap macam tu… Mak cik ikhlas tolong Wiyah.”
“Terima kasih… Wiyah kena rogol…”
Puan Hasmah beristighfar panjang. “Sabar yer nak…”
Di bibirnya terlukis secebis senyuman. “InsyaAllah…”
“Keluarga Wiyah?”
Senyuman masih terlakar dipinggir bibirnya. Kepalanya digeleng sekilas.
“Kenapa?”
“…tak semua orang boleh terima hakikat yang ternyata pahit untuk ditelan. Sifat semulajadi manusia yang pantas menghukum tanpa usul periksa…”
Senyuman pahit terlukis diwajahnya. “…saat Wiyah dirogol, tiada kata-kata hikmah pemulih semangat. Saat disahkan hamil, diri ini dipandang jijik ibarat sampah yang sudah berulat. Darah sama yang mengalir ditubuh ini seolah-olah malu untuk mengakuinya. Diri ini dilontar jauh tanpa diberikan peluang untuk berkata-kata. Mengalir air mata seorang ibu mengubat lara hati ini…namun ternyata ujian buat diri ini tak ternoktah disaat itu. Air mata ibu mengalir demi secebis pengharapan agar diri ini tidak lagi menjejakkan diri ke situ, pintanya agar melupakan silaturrahim yang terjalin… Apa daya diri ini? Apa kudrat diri ini untuk melawan? Kerana pada kakinya terletak syurgaku…”
Adawiyah yang tenang tanpa sebarang emosi terlakar diwajahnya dipandangnya. ‘Subahanallah…betapa beratnya ujian-Mu Ya Allah buatnya. Selagi nafasnya berhembus Engkau teguhkanlah pendiriannya Ya Allah…’
“Wiyah boleh tinggal kat sini berapa lama Wiyah perlu. Lagipun mak cik pun dah tak de sape-sape. Tingkat atas ni mak cik peruntukkan untuk anak-anak yatim…”
Wajah tua Puan Hasmah direnunginya. ‘Ibu…Wiyah rindukan ibu…’ Perlahan tangannya mencapai jejari tua Puan Hasmah, disalami dan diciumnya. “Terima kasih mak cik…tak terbalas budi mak cik…”
Puan Hasmah mengangguk. Adawiyah diraih ke dalam pelukannya.
**************
Di keheningan pagi, dia kembali sujud penuh kerinduan dan keinsafan kepada sang Kekasih, Ya Rabbul Izzati.
Ya Allah…
Di keheningan pagi ini ku bisikkan kerinduan, keinsafan, dan pengharapan hanya pada- Mu…
Ya Allah…
Ku sembahkan secebis pengorbanan, membuktikan kecintaan pada-Mu…
Di kedinginan pagi ini…ku bisikkan untuk-Mu munajatku…
Memohon sejuta restu…
Merindui maghfirah-Mu…
Mardhiah-mu dalam restu…
Tulus harapan dari sekeping hatiku…
Moga cintaku pada-Mu bukan palsu Ya Allah…
Ujian kepahitan dalam kehidupan...
Padanya ada kemanisan, ketenangan dan kebahagian…bayangan syurga idaman…
Ya Khalik…
Ku rindukan pimpinan-Mu…
Keagungan-Mu dalam doaku…
Pada desiran penuh syahdu…
Segelombang lautan rinduku pada-Mu, Ya Tuhanku…
**************
Bayu pantai yang menyapa lembut mendamaikannya. Kaki yang melangkah tanpa arah akhirnya berhenti, melabuhkan diri disisi batu bata yang terhias indah. Sepasang mata bundar miliknya merenungi penuh kekaguman keindahan alam ciptaan-Nya. Akhirnya mata bundar itu hilang ditengah-tengah lautan yang tiada penamatnya…satu lagi keajaiban ciptaan Allah s.w.t.
‘Pohon semalu pantang disentuh, pasti kan menunduk sopan. Namun durinya masih berceracakan…itulah lambang keindahan wanita bermaruah. Wanita yang dalam dirinya terselit perasaan malu, mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim, mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin dan kembali ke rumah bila menjelangnya senja… Namun mengapa wanita di era serba canggih ini menjadikan resmi kupu-kupu yang sentiasa berterbangan bebas tanpa mengenal erti siang dan malam sebagai lambang kemuliaan mereka?
Islam hadir untuk meningkatkan darjat wanita. Sebagaimana sejarah Islam telah membuktikan wanita mempunyai peranan yang besar. Khaulah Al-Azwar, seorang wanita yang berani menggadaikan nyawanya di medan perang tanpa gentar. Kepaksiaannya kepada Allah s.w.t telah berjaya mencerai beraikan pasukan Rom dan melepaskan diri dari kafir durjana dan kembali ke pasukan Islam dengan selamat. Begitu juga dengan Nusaibah, sanggup berkorban diri mempertahankan agama dan Nabi sehinggakan tangannya dihunusi. Saat anaknya, Abdullah luka parah ditikam musuh diikatnya luka dan segera disuruh anaknya bangkit berjuang sehinggakan Rasulullah s.a.w yang melihatnya terharu. Bersama Rasulullah s.a.w di syurga hakiki pintanya…
…mengapa kisah Imarah ini tidak diteladani?...sedangkan kisah-kisah hidup artis digilai, dipujai, dan disanjung ibarat makan tak kenyang, mandi tak basah... Besarkah pengorbanan mereka pada Islam? Apakah teladannya bertunjangkan Islam? Apakah mampu kisah-kisah mereka menuntunmu ke jalan Illahi? Apakah mampu ianya meraih syurga abadi di sana kelak? Apakah gejala-gejala sosial yang berlaku hari ini ekoran dari lelaki yang tidak boleh diharap? Bukankah setiap masalah itu ada puncanya? Masakkan pokok kan bergoyang andai tiada yang memainkan peranannya…
Sedarlah wahai wanita…disebalik tuntutan menjaga auratmu, terselit seribu hikmahnya. Bukan sekadar seruan dan tuntutan oleh agama. Lihat hakikat, besarnya kesan seorang wanita terhadap lelaki. Kerana tangan wanita yang lembut bisa menggoncangkan dunia. Dan hanya kerana sejalur aurat yang terdedah, wanita mampu mengoncangkan iman lelaki.
Perempuan adalah pasangan kepada lelaki. Maka Allah s.w.t telah menciptakan bentuk badan wanita itu dapat memikat hati lelaki. Maka ianya ada hubung kait dengan nafsu dan bisikan syaitan durjana. Inilah hikmahnya tuntutan menutup aurat. Sebagaimana firman Allah s.w.t; Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan(terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah s.w.t, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” (An Nuur:31)
…ketahuilah wanita…sedar atau tidak, kita merupakan punca segala zina dan kita adalah senjata utama syaitan durjana! Lihatlah hakikat yang terbentang dimata kini. Di jalan-jalan, pasar malam, shopping complexs, bus stop, atau mana-mana tempat sekali pun…pastikan ada wanita yang terdedah auratnya. Even tak keluar rumah, petik jer suis TV…terhidang la aurat-aurat para wanita. Adakah masih lelaki yang menjadi punca? Megahkah engkau melaungkan yang maruah diri mu masih terjaga walaupun tidak menutup aurat? Adakah engkau berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi yang melihat auratmu mempunyai hati sesuci dan iman setinggi mu? Langsungkah engkau tidak memberi kesan dan tidak membangkitkan nafsu serakah mereka?
Buka mata mu…tajamkan deria pendengaran mu…lihatlah diri ku ini! Sekali pun engkau tidak mempedulikan kritikan masyarakat sekeliling…dengarlah luahan sekeping hati yang dah lama mati ini… Tidak aku minta belas ehsanmu…tidak juga mengemis kasihmu, aku cuma mengharapkan pengertian darimu wahai wanita! Lihatlah dengan hatimu yang lembut bak kapas itu. Kerana keangkuhamu bersuara mengatakan yang maruah dirimu terjaga walaupun engkau tidak menutup aurat, tahukah engkau berapa ramai wanita yang tak berdosa di luar sana yang menjadi korban keangkuhan mu? Tak perlu mencari yang jauh, lihatlah pada diriku... Kehormatanku diragut sekelip mata…aku percaya ini hanyalah secebis ujian buatku. Namun hati ini parah ibarat ditoreh hujung mata pisau saat sebuah lembaran kemaafan terlayar di tubir mata. Mungkin tanpa iman didada, dah lama aku menjadi gila… Pedihnya saat itu tak mampu aku ungkapkan. Lembaran kemaafan dari seorang perogol…dan perogol itu adalah jiran kampung dan juga sekampusku yang bergelar mujahid…bukan calang-calang orang! Kemafaan dipinta…kesalahan diakui dan PENYEBABNYA MEMBUNUH diri ini! ‘…Maafkan aku, kerana khilafku tak menjaga pandangan mata, terpesona dengan keindahan ciptaan-Nya, terbuai dengan nafsu yang meronta dan dirimu yang menjadi mangsa. Sumpah aku tak sedar apa yang aku buat…’
Pernakah engkau selami hati kami? Even engkau menangis air mata darah sekalipun, tak kan termampu membasuh luka yang engkau pahatkan buat kami…
…berapa ramai yang tegar memilih untuk menoktahkan hidup mereka kerana keangkuhamu? Bagaimana dengan wanita cekal yang masih berbekalkan secebis iman didada untuk meneruskan hidup mereka, menghadapi ujian-ujian yang mendatang? PERNAHKAH ENGKAU FIKIR?
Tak perlu dipungut yang sudah dibuang…tak perlu dikenang yang dah lepas…kerana kita manusia tak lari dari khilaf. Aku bukan mencari sebuah keadilan, kerana aku pecaya qada’ dan qadar-Nya…tak kan mampu menandingi keadilan duniawi.
…hati ini hancur melihat palsu duniawi menjadi pujaan dan keagunganmu…jasad ini lumpuh dengan keangkuhan makhota berhargamu yang engkau agung-agungkan…hati meratap hiba, takut nasib diri ini menimpa lebih ramai insan-insan yang tak berdosa…
Sedarlah, wajahmu itu bukan untuk tontonan umum, apatah lagi tontonan khusus. Perempuan yang sebenar-benarnya cantik itu TIDAK MEMANDANG dan TIDAK DIPANDANG… Ketahuilah wanita…Allah s.w.t menciptakanmu semulia-mulianya. Terciptanya bahumu agar mampu menahan seluruh beban dunia dan isinya, walaupun jua bahu itu harus cukup nyaman dan lembut untuk menahan kepala bayi yang sedang tidur… Diberikan wanita kekuatan untuk melahirkan bayi dari rahimmu, walau kerap berulangkali menerima cerca si bayi itu apabila ia menigkat dewasa… Diberikan wanita keperkasaan yang membuatkanmu tetap bertahan, pantang menyerah saat semua orang sudah putus asa… Diberikan kesabaran jiwa untuk merawat keluargamu walau dirimu sendiri keletihan, walau sakit, walau penat tiada pernah berkeluh kesah… Diberikan wanita kekuatan untuk membimbing si suami, melalui masa-masa sulit dan menjadi pelindung baginya…bukankah tulang rusuk yang melindungi setiap hati dan jantung agar tak terkoyak? Diberikan wanita kebijaksanaan dan kemampuan untuk memberikan pengertian dan menyedarkan suami yang baik adalah yang tidak pernah melukai isterinya walau seringkali pula kebijaksanaan itu akan menguji setiap kesetiaan yang diberikan kepada suami agar tetap berdiri sejajar, saling melengkapi dan saling menyayangi… Dia Yang Maha Penyayang menganugerahkan mu wanita dengan air mata, sebuah anugerah yang tak ternilai…agar dapat engkau mencurahkan perasaanmu saat engkau terluka, saat engkau dicerca, saat engkau rebah tersungkur… Ianya bukan tanda kelemahanmu wanita, tetapi itulah air mata kehidupan…
Jangan butakan mata hatimu dengan kepalsuan duniawi yang hanya bersifat sementara ini wahai wanita… Kemuliaanmu bukan untuk disia-siakan! Kerana sesungguhnya kemuliaan wanita ternyata pada amalnya. Kemuliaan wanita bukanlah apabila wanita itu berpangkat tinggi, berkerjaya hebat, bermuka cantik, berpakaian anggun…tetapi WANITA YANG MULIA adalah WANITA YANG TAAT KEPADA TUHANnya, melaksanakan semua perintah Allah s.w.t dengan sunnah Rasulullah s.a.w dijadikan ikutan…
Kemuliaan semu dan fana yang engkau agung-agungkan takkan ada nilainya, malahan hanya mengundangmu ke lembah kehancuran… Ada apa pada pangkatmu? Ada apa pada kecantikan wajah dan tubuhmu yang pastinya akan dimamah usia? Ada apa dengan kelantangan suaramu menuntut persamaan hak dengan lelaki? Apakah hakikat yang terbentang didada kalamuallah tidak cukup untukmu jadikan iktibar? Pada siapa hendak kau buktikan kehebatanmu? Sedangkan hakikatnya, wanita yang punya sifat sabar sahaja dijanjikan pahala seperti Aisiyah, isterinya Firaun. Mengapa harus menempa jalan yang penuh onak duri sedangkan didepanmu telah terbentangnya jalan yang pasti? ’
Air mata yang mengalir laju dipipi dibiarkan. Kaki mula melangkah menyusur gigian pantai. Jiwa bergolak hebat, zikir mengalun laju disegenap saraf, perut yang kian memboyot diusap lembut… ‘Maafkan ibumu yang kerdil ini…moga lahirnya dirimu setabah Zainab puteri Rasulullah s.a.w. Tegar menongkah arus walau pelbagai ujian mendatang. Jangan pernah salahkan takdirmu… Binalah benteng kekuatan untukmu menghadapi ujian-ujian yang mendatang. Jadilah engkau hamba-Nya yang sentiasa mengejar kebahagiaan ukhrawi. Peliharalah agama seperti mana nyawamu, siramlah hati dengan taqwa sebagai bekalan menghadap Yang Kuasa. Hiasi peribadimu agar kelak tidak dipandang rendah. Sesungguhnya pintu syurgawi menantimu disana…’
Anakku…
Jika lahirmu sebagai lelaki,
Ketahuilah masyarakat menunggu perananmu,
Apakah menjadi orang pandai yang mampu berfatwa,
Hakim yang adil, iman yang hafal al-Qur’an, pegawai yang jujur,
Pemimpin yang bijak atau seorang pedagang yang jujur lagi mahu nasihat-menasihati…
Anakku…
Bila kau menjadi doktor atau ahli perubatan atau apa sahaja sesuai bakat dan keinginanmu,
Maka jadikanlah motivasimu agar orang Islam tidak lagi bergantung kepada orang-orang kafir.
Dan bila engkau menjadi doktor atau ahli perubatan,
Jadilah doktor atau ahli perubatan muslim yang mahu menasihati manusia
ke jalan Allah s.w.t dan Rasul-Nya, mengikut petunjuk-Nya dan membela pemimpin Islam.
Dengan itu nescaya Allah s.w.t akan memberi kemenangan kepada umat Islam menerusi tanganmu…
Anakku…
Jika lahirnya engkau sebagai wanita,
Jadilah engkau seorang wanita yang membawa harapan agama dan lampu hidayah bagi orang lain.
Hafalkan al-Qur’an! Berbekallah dengan ilmu yang bermanfaat untuk membimbing keluargamu,
Dan masyarakatmu ke jalan yang lurus…
Anakku…
Persiapkanlah dirimu untuk menghadapi serangan-serangan hebat dari musuh.
Berdiamlah di rumah. Ketahuilah bahawa Allah s.w.t akan membantu,
dengan penuh semangat melakukan perjuangan, apakah engkau dan teman-temanmu akan tinggal diam?
Sesungguhnya, doa itu senjata orang MUKMIN!
Anakku…
Engkau adalah seorang muslim.
Sebagai seorang muslim, engkau harusnya menjadi orang-orang yang mendambakan kebahagiaan akhirat, tidak hanya mengejar duniawi semata.
Bersungguh-sungguhlah engkau untuk menjadi pewaris syurga yang penuh dengan redha dari Allah s.w.t…
Matahari yang kian terbenam diufuk menjadi santapan mata. Seluruh urat saraf bergetar halus, kagum dengan keindahan ciptaan-Nya. Bibir perlahan mengalunkan zikir memuji kebesaran-Nya.
‘Tiada indahnya kedinginan kala malam menjelma,
Melainkan dengan bermunajat kepada-Mu demi mengintai secebis keampunan dari-Mu,
Tiada indahnya setiap hari yang dilalui tanpa mengingati dan patuh kepada-Mu,
Tiada indahnya hidup didunia ini,
Melainkan alunan zikir dan kalamuallah meniti dibibir,
Memuji kebesaran dan keagungan-Mu…
Tiada indah saat tibanya di akhirat yang abadi,
Tanpa keampunan-Mu…
Tiada indahnya diri ini,
Tanpa keampunan-Mu di setiap debu-debu dosa kejahilan diri…
Tiada indahnya kekayaan duniawi ini,
Tanpa keberkatan dari-Mu…
Tiada indahnya aku, hamba-Mu yang kerdil lagi hina ini,
Hidup didunia tanpa langsung mengingati-Mu disetiap hela nafasku…’
...Manusia lahir ke dunia bukan untuk menghuni dunia. Dunia cuma tempat transit, tempat ujian dari-Nya. Manusia diciptakan untuk suatu alam yang kekal abadi, ABADAN ABAD (kampung akhirat)…
*****************
Related link: 18SX - "Sayang,Saya Harap Lepas Ni Tiap2 Kali Balik Raya,Kita Balik Kampung Saya Dulu" Kata Suami Anda Credit to Cursing Malay (http://cursingmalay.blogspot.com/2011/06/orait.html)
Credit for Najibah Kazmin(http://syawqahwardah.blogspot.com/), Zunnurain(http://insanrindukasihilahi.blogspot.com/) and Amna Arina(http://diarikhairatunhisan.blogspot.com/)
Credit for Najibah Kazmin(http://syawqahwardah.blogspot.com/), Zunnurain(http://insanrindukasihilahi.blogspot.com/) and Amna Arina(http://diarikhairatunhisan.blogspot.com/)
Comments
Post a Comment