Yang Makin Jauh
Pada jalanan yang berduri,
hati tak henti ku pujuk
Takut ianya menyerah sebelum ajal
bimbang terkorban pada dunia yang tiada nilainya
Namun ku jua manusia
yang terkadang tunduk pada rasa
Dek hati yang kurang sabar,
Dek iman yang kian menipis
Lalu mata mula mengeluarkan tangis
Hati lesu mempersoal sendirian
Kala aku disapa badai
Di mana diarium
Di mana tutur bicara kasihmu
Di mana pundakmu yang bisa menampung bebanan air mata sedih ini
Di mana
Di bibir kau kata sahabat,
Di balik dinding kau tak putus mengutuk
Di bibir kau ucap madah, "Susah senang kita tetap bersama
Namun saatnya palitan kotor terlontar penuh ke arahku,
bukan saja kau menjauh
malah turut serta melontarnya dari kejauhan
Bibir ini tak pernah meluah
tak jua mempersoal
Bukan kerana aku 'terbaik'
tidak jua 'mulia'
Tetapi saat itu
aku mengerti,
kau hanya kerdil sebagaimana aku
Tercipta dari hinanya air mani
Menyerah saat diuji,
lupa saat dibelenggu nafsu
Kerana rencana syaitan durjana itu tiada henti
selagimana nadi berdenyut
Seandainya air mata itu tiada putus, pastikan ramai yang buta kesedihan
Sahabat
Pada cebikanmu,
senyumanku penuh pahit
Pada sinis katamu,
air mataku mengalir penuh hiba
Pada dongengan bicaramu,
ku tegak dalam rebah
'Andai kasih-Nya pada mahar yang tinggi, tak mungkin aku masih bernafas kini'
Maafkan aku
Air mata ini,
bukan kerana benci
tidak jua kerana dendam
Diamku bukan kerana jemu
tidak sekali kerana muak
kerana pada sebuah amarah,
diam penawar yang mujarab
Pada titisan air mata,
hati yang luka kan terawat indah
Dan pabila saat itu berlalu pergi
Ku harap kisah duka semalam,
kan terkubur selamanya
'Kau tetap sahabatku ke akhir hayat'
"Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu, sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri" [Hr al-Bukhari & Muslim]
Andai jalanan taubat itu terkunci rapat,
pasti banyak jiwa yang mati,
tenat sendirian
Angin
Jika kau berhembus lembut di sisinya,
Bisikkan padanya
Aku sahabat nya selamanya
Air
Jika kau mengalir tenang disisinya,
Bisikkan padanya
Aku mohon maaf atas segalanya
Bunga
Jika kau tumbuh mekar disampingnya,
Kau kirimkanlah wangian
tanda terima kasih atas kehadirannya dalam hidupku
Burung
Jika kau terbang melintasinya,
Sampaikan bisikkan hati ini
'Aku teramat rindu padamu sahabat'
Persahabatan bukanlah satu medan perdebatan 'Siapa yang betul atau siapa yang salah'. Kerana persahabatan itu laksana empat musim. Adakalanya ia panas, namun pastikan kembali sejuk. Adakalanya ia beku bak salji, namun kan tiba masanya ia kembali mekar berbunga.
0415;301111–nk
Comments
Post a Comment