Di Batasan Kasih





Kata bahagia
Mengundang banyak titis jernih
Mengundang berjuta garit senyuman
Persepsi yang berbeza

Teman,
Pada mutiara jernih yang mengalir mulus dipipinya
Jangan disangka dia derita
Di sebalik air mata itu
Terkandung berjuta cerita
Terkumpul beribu rasa

Dan saat dia tersenyum
Jangan disangka itu senyuman bahagia
Sedang dia hampir rebah dilautan sendu
Mengertilah,
Pada senyuman itu
Dia berusaha mengusir derita menjauh
Dia berusaha memujuk hati yang pilu
Kerana dia tahu
Disebalik kepahitan pasti kan hadir kemanisan yang indah

Teman
Benar, saat tangisan itu menghias disudut pipinya
Hati kita jua terusik pilu
Benar, saat senyumannya menghias indah
Bibir kita jua tersenyum bahagia

Tapi teman
Jalanan takdir kita berbeza
Sepertimana lahirnya kita ke dunia
Walau sederas ombak kita bermadah
Walau setempayan kita mencurah nasihat
Tetap hanya dia yang merasa ‘kesakitan’ itu

Teman
Pada deritanya
Hati tak betah tinggal diam
Lantas bibir mula bersuara
Kononnya menuntut keadialan buatnya
Sedang dia tak pernah merungut
Sabar sekali dengan senyuman yang tak lekang dihujung bibir
Setia selagi mana dia masih terikat
Kerana bahagia itu baginya bukan pada senyuman tapi pada keredhaanNYA
Betapa dia bahagia dalam takdirnya duhai teman
Jangan kau cebik pada ketenangannya
Jangan kau cemuh pada diamnya
Jangan kau sirami api dalam kesabarannya
Jangan sesekali kau pandang rendah padanya
Ketahuilah dialah sebenar-benarnya wanita hebat selayaknya Asiah yang bermaharkan Imannya pada sang suami yang terang-terang kekufuran mengaku dirinya Tuhan

Teman
Saat tubirnya tak mampu lagi diseka
Peluklah dia dengan sepenuh kasihmu
Tak perlu ungkapan kata-kata madah
Tak perlu bersuara memujuk
Cukup doa tulusmu disudut hati
Itulah sebenarnya yang dia perlukan

Teman
Saat dia tersenyum indah
Merawat cebisan luka yang tertoreh
Usah kau tambah deritanya dengan kisah indahmu
Tersenyumlah penuh ikhlas
Genggamlah tangannya agar dia tahu kau sentiasa disisi
Moga dia kuat untuk terus melangkah
Itulah sebenar-benarnya teman
Bukan hanya hadir tika tawa
Bukan jua hanya penambah sakit yang ada
Bukan jua pemanas sulit yang terbentang
Tapi sentiasa menjadi tugu kala dia hampir rebah
Sentiasa menjadi pendengar kala air matanya bercerita sendu
Sentiasa mendoakannya tanpa mengharap balas

Kadang tanpa kita sedari
Saat bibir berbicara indah
Banyak hati yang menangis sendu
Berpadalah dalam meluah
Bukan bererti salah
Cuma menjaga hati yang kerap terluka parah
Bimbang mereka berpaling dari langkah
Menyerah tanpa mujahadah


Manusia
Tak semua lahirnya penuh bahagia
Namun tak bererti mereka iri
Sentiasalah bersangka baik
Menghulur tanpa mengharap balas
Mendoakan dengan penuh ikhlas


0321–nk


Comments

Popular Posts