Malam Pengantin

Idea| Dari Langit



Diam dalam bisu yang panjang
Kepala didongak ke langit
Walau KAU tak terlihat
Hatiku tenang
Saat sesak dan luka membuat kan aku berkali rabak
KAU selalu ada dalam tenang ditengah lebat
Memujuk aku dalam diam yang tak terucap
Memberi aku erti kehidupan
Takdir adalah milikMU


Ketika aku sering terjatuh
Hanya lelah dan air mata teman yang setia
Saat keesokan harinya aku harus kembali bangkit
Untuk wajah wajah yang aku sayang
Agar hati tua mereka tiada lagi resah hatta bimbang
Kerana aku ingin menjadi anak dewasa
Yang menghadirkan hanya senyuman diwajah
Untuk mereka kenang diseketika waktu yang akan hilang
Moga saat rindu yang menyelit ada titipan doa untukku
Walau sekadar kalungan Fatihah


Bicara
Sering membuat aku jauh
Adakalanya aku terduduk kecewa
Saat payahnya tak mampu aku terjemah
Hanya mampu menatap langitMU
Menadah pengharapan
Dalam rasa yang tak mampu aku pujuk redha
Ketika luka yang singgah terlalu tajam menghunus


Kata
Terlalu dalam menyimpul rasa hati
Mengadun rencah emosi menjadi satu
Diterjemah bersama tangis
Walau baitnya terkadang sumbang
Segala isinya tercurah tanpa selindung
Kerana aku datang bersama parut
Yang membina kekuatan kaki
Untuk terus melangkah
Dan kerana Kasihnya DIA buatku
Walau dalam goyah dan luka
Tetap kata berlari dicelah jejari
Agar aku kembali bangkit berlari
Kerana DIA selalu ada
Tak pernah tinggalkan aku sendiri


Rindu
Menjadikan aku pendiam
Dalam renungan yang dalam
Kerana kekuatan itu tak semudah tekad dihati
Saat aku berulang kali rapuh ditengah langkah
Dan sungguh tak mudah
Tika hanya dia yang dizinkanNYA menyentuh
Jauh ke dasar hati
Yang telah sekian lama mati


Tuhan
Pada keEsaan MU
Aku memeluk percaya ke tulang ku
Pada jejak dilangkah
Aku memajak setia hanya padaMU
Kerana dari MU aku datang
Dan hanya padaMU aku kan pulang
Untuk detik yang pasti kan tiba ke atasku seperti yang KAU janji
Moga KAU pandu hati hina ini hanya menuju MU
Walau berkali aku carik
Walau sering aku teragak
Walau sesekali aku meragui MU
Sungguh hanya padaMU aku berharap
Kerana hanya Engkaulah Tuhan ku Yang Satu.

–nk

Comments

Popular Posts