Lakaran Semalam



Dalam jalanan langkah kaki,
betapa aku terlupa tujuan aku disini..
betapa aku terlena dalam cita sendiri..
Bermatian mendaki gunung yang gah berpuncak tinggi,
demi sebuah cita,
demi kepuasan diri,
melakar lukisan mengikut acuan sendiri,
membutakan mata pada yang haq,
menjahilkan diri pada jalanan kebenaran,
demi nafsu yang aku julangi,
seolah aku bisa hidup selamanya..

Ditengah bahagia, pahit datang menyapa..
Ditengah ketenangan, kebuntuan datang bertandang..
Hitam putih kehidupan yang tak pernah sunyi terlakar..

Dalam keasyikan dunia yang aku cipta
Dalam kepalsuan dunia yang aku benarkan
Seringkali aku tersungkur rebah sendiri..
Kala itu air mata tak lagi mampu merawat
Senyuman tak lagi girang menghiasi..
Namun masih lagi aku disini..
memujuk diri 'Inilah jalananku. Aku adalah aku..'   'Sedang hakikatnya aku bukan sesiapa tanpaNYA...'
Dan aku masih disini...
makin menjauh...
tenggelam dalam dunia yang aku cipta sendiri..

Sekali ombak memukul,
masih pasir tinggal diam
endah tak endah...
Dan saatnya badai melanda,
semuanya retak terbelah,
tiada yang tinggal menghias...

Dalam hempasan luka, aku terjaga..
Kembali bertatih, bersimpuh memohon keampunan..

Langit ku dongak
Lakaran semalam yang kelam terlayar menghiasi..
Mendung dihati mula bersuara,
Menerbitkan mutiara jernih dipipi...

Hampir suku umur aku berjalan dibumi ini..
Namun baru saat ini aku mengenali PenciptaKu..
         Sang hati berbisik lirih...
             Kerana Dia Penciptaku,
             Pencipta Yang Maha Segala-galanya..
             Kerana kasih sayangNYA tiada nilaian, tiada taruhan, tiada gadaian,
             Aku masih disini, masih bernafas untuk kesempatan yang tak mampu aku 
             bayangi.. 
             Seandainya sekujur tubuh ini kan kaku saat aku masih lagi ghairah melakar 
             mimpi sendiri,
             Bagaimana nasib aku disana nanti...

Dan aku teresak sendiri...

Ya Rabbi...
   Aku lahir ke dunia dengan izinMU
   Lahirku saat Rasul dan sahabat telah jauh nun di kampung barzakh
   Para tabi' dan tabi'in juga telah jauh meninggalkan aku..
   Kini aku menyambung generasi yang mengalir darah yang sama,
   dalam nadi yang sama, atas mahar agamaMU yang satu, ISLAM...

Ya Rabbi...
   Zaman ku adalah zaman pemerintahan Islam yang tak lagi punya suara..
   Lemah tak berkuasa, tunduk hanya mengganguk, dihulur terus menyambut,
   dipuji terus meninggi, dibeli terus lupa diri...
   Sebuah pelaburan yang memperdagangkan mahar keIslaman,
   Kekejaman yang membunuh!

Ya Rabbi...
   Aku terbit ditengah masyarakat Islam,
   Namun warna keIslaman tak lagi menyinari, luntur dan sepi...
   Tiada lagi kedengaran suara-suara yang berzanji,
   Tiada lagi ceritera kalamMU yang menasihati,
   Tiada lagi imarah yang menyinari mahligaiMU
   Sebagaimana yang muda melupakan yang tua,
   tiada lagi hormat yang memagari..
   Dan kini
   Pekikan dan lolongan yang menghiasi,
   Perlumbaan yang menjulang kedudukan dan pangkat dikejari,
   Amanah yang dicerobohi,
   Fitnah yang mendasari tampuk pemerintahan,
   Peragaan dan penonjolan yang mendominasi,
   tiada lagi malu,
   tiada lagi harga diri,
   Layar jahiliyyah kembali menakluki..
   Islam dah terusir pergi,
   dari hati dan kehidupan mereka yang lahirnya bersyahadahkan khalimah ashaduallah
   ilahaillallah wa ashaduanna muhammadurrosullah...
   Semuanya hanya tinggal lafaz,
   sebagaimana debu yang terusir pergi dalam curahan hujan yang menuruni..

Ya Rabbi...
   Ditengah gelap gelitanya dunia,
   disudut-sudut pondok usang,
   dicorok-corok rumbia,
   masih ada lagi yang gigih berjuang,
   menyinarkan kembali cahaya keIslaman yang kian malap dek ditenggelami gah
   kemilau neon..
   Aku bersyukur kepadaMU...

   Dalam cebisan semangat yang memacu mereka teguh,
   Ku kuatkan azam menjadi sebahagian daripada mereka,
   walau ku tahu aku hanyalah ranting pada sang pokok,
   Akan ku cuba sedaya upaya menggerakkan generasiku yang telah lumpuh,
   generasiku yang kian buta dalam celiknya teknologi,
   generasiku yang menjadi hamba pada nafsu sendiri,
   generasiku yang terulit dengan cinta agung dongengan Romeo&Juliet,
   generasiku yang terpelajar namun tak berilmu...
   Namun Ya Rabbi...
   Saat kaki ini ingin melangkah dengan api jihad yang marak didada,
   seringkali akal bertingkah dengan sang hati..
   Aku takut Ya Rabbi..
   Aku lemah untuk membimbing mereka, kerana aku juga tidak sempurna...

Dalam tafakur tahjjud,
sang bayu datang berbisik lembut..
memujuk hati yang kembali rapuh,
menguatkan iman yang mula goyah,
Terima kasih Ya Allah...

Jika kau menunggu kesempurnaan untuk menggalas tugas ini,
nescaya kehancuran pasti mendahuluimu,
kerana tiada insan yang akan sempurna dan suci dari noda dosa..

'Sesungguhnya setiap Muslim berkewajiban untuk mengajari saudara seakidah yg masih bodoh tentang agama Islam'

Galaslah kewajipan itu dalam jalanNYA,
dan tugasmu adalah berusaha..
Gagal jatuh,
dicela tak diterima,
itu hanyalah perkara biasa..

Kadang saat hati kita diluka,
rasa sedih mencengkam terguris..
Namun jangan kita lupa,
dalam kita tak sedar,
hati lain jua kita guris..

Mengapa perlu mempersoal andai ada yang melontar rasa
sedang tika itu kita tak ubah sebagaimana dia..
Teruskan berdoa agar ditetapkan hati,
buang segala sangka yang menjadi iri,
kerana bukan nilaian harta yang kau cari,
bukan jua kerana nama kau ingin dikenali,
cukuplah redhaNYA sebagai mahar yang kau dambai,
Moga PimpinanNYA sentiasi mengiringi langkah kaki...

Jalanan dakwah itu manis,
namun landasannya haruslah dipantau,
bimbang dalam tak sedar tergelincir dari landasan,
kelak tak lagi balik ke pangkal jalan...

Jalanan dakwah adalah suci,
bukannya pentas meninggikan diri..
Jalanan dakwah itu murni,
bukan kayu ukur berapa ramai orang yang bisa kau takluki..

Jalanan dakwah bukanlah lesen untuk mu bermegah,
kerana jalanan dakwah itu punya dua cabang,
andai kaki tersasar melangkah,
jalanan kelam itu kembali kau huni...

"Katakanlah inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku
mengajak kepada Allah dan yakin, Maha suci Allah, dan aku tidak
termasuk orang-orang musyrik." [Yusuf:108]



Ya Allah,
Bantulah hambaMU ini
sedarkanlah semula generasiku Ya Rabbi
bangunkalah semula ummat akhir zamanMU ini Ya Illahi
Aku yakin Islam pasti kan kembali,
dan aku tak akan berhenti sampai disini,
selagi nafas belum terhenti

~Sekiranya anda memilih untuk teguh dan tetap dalam menempuhi jalan yang panjang dan sukar ini ketahuilah bahawa kemenangan akan tiba. Ia tetap akan tiba sama ada anda memilih untuk bersama atau tidak. Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat

"Wahai orang yang beriman,mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang sabar."  [al-Baqarah:153]

0511:052012–nk


Comments

Popular Posts