Air Mata Ramadhan




Dalam jalanan langkah kaki,
betapa aku terlupa tujuan aku disini..
betapa aku terlena dalam cita sendiri..
Bermatian mendaki gunung yang gah berpuncak tinggi,
demi sebuah cita,
demi kepuasan diri,
melakar lukisan mengikut acuan sendiri,
membutakan mata pada yang haq,
menjahilkan diri pada jalanan kebenaran,
demi nafsu yang aku julangi,
seolah aku bisa hidup selamanya..

Ditengah bahagia,
pahit datang menyapa..
Ditengah ketenangan,
kebuntuan datang bertandang..
Hitam putih kehidupan yang tak pernah sunyi terlakar..

Dalam keasyikan dunia yang aku cipta
Dalam kepalsuan dunia yang aku benarkan
Seringkali aku tersungkur rebah sendiri..
Kala itu air mata tak lagi mampu merawat
Senyuman tak lagi girang menghiasi..
Namun masih lagi aku disini..
memujuk diri 'Inilah jalananku.
Aku adalah aku..'   'Sedang hakikatnya aku bukan sesiapa tanpaNYA...
Dan aku masih disini
makin menjauh
tenggelam dalam dunia yang aku cipta sendiri..

Sekali ombak memukul,
masih pasir tinggal diam
endah tak endah...
Dan saatnya badai melanda,
semuanya retak terbelah,
tiada yang tinggal menghias...

Dalam hempasan luka, 
aku terjaga..
Kembali bertatih,
bersimpuh memohon keampunan..

Langit ku dongak
Lakaran semalam yang kelam terlayar menghiasi..
Mendung dihati mula bersuara,
Menerbitkan mutiara jernih dipipi...
Kenangan itu, mengusik jiwa. Mengalunkan getar. Menitiskan air mata. Lakaran yang mengejutkan aku dalam mimpi yang lena. Lakaran yang melontar aku ke realiti sebenar sebuah kehidupan. Lakaran yang menjanjikan sebuah janji yang pasti, KEMATIAN!

Dalam simpuhan hina aku mencari damai yang sekian lama sepi. Dalam tangisan berlumur noda, aku rebah ke pangkuanMU Ya Rabbi..

‘Tuhan, hampir suku umur aku berjalan dibumi ini. Namun baru saat ini aku mengenali Engkaulah PenciptaKu..’ Sang hati berbisik lirih, ‘Kerana Dia Penciptaku, Pencipta Yang Maha Segala-galanya.      Kerana kasih sayangNYA tiada nilaian, tiada taruhan, tiada gadaian, aku masih disini. Masih bernafas untuk kesempatan yang tak mampu aku bayangi seandainya sekujur tubuh ini kan kaku saat aku masih lagi ghairah melakar mimpi sendiri. Bagaimanakah nasib ku disana nanti...’

Dan aku teresak sendiri...

******
Tepukan dibahu memberi refleks. Kepala dipanggung dari buku ditangan.

“Busy?”

Senyum. “Tak.” Mata kembali melekat didada buku.

“Tak turun G-Baskin?”

Geleng.

“Kau tak join game U-Come Back?” Irshad dipandang tak percaya.
“Tak kot. Aku off untuk bulan ni.”
“Huh?” Sisi muka Irshad yang kelihatan dipandang lama. ‘Since when?’

Azan yang berkumandang sayup membangkitkan sila. Belakang seluar ditepuk perlahan. Sling bag dicapai dan disangkut ke bahu. Duan yang masih terpaku dikalih pandang. “Jom.”

“Hah?”
“Dah masuk waktu.” Kaki mula melangkah.
‘Irshad+solat+masjid=since when?’
******
Kepala menunduk. Khusyuk mengikat tali kasut dikaki.

“Kau betul nak quit?” Beg dilurut ke sisi. Kasut disarung ke kaki.
“Tengok keadaan.”
“Tapi sekarang tengah panas beat game.”

Senyum. Sling bag dicapai. Kaki mula melangkah.

“Shad!” Kaki berlari anak mengejar langkah Irshad yang dah jauh ke hadapan.
“Kau betul-betul ni?”
“Jom minum.”
“Kau…”

Kaki dinoktah. Duan dipandang tepat. “Nanti aku citer.”
Kepala spontan diangguk. Langkah Irshad dibontoti.
********
“Macam mana kau punya project CIM?” Duan dipandang sekilas, sebelum anak mata hilang dalam perut sling bagnya.

“Ok la. Xiah tengah buat outcome. Hope boleh settle terus la.”

Angguk.

“So, kau betul nak quit game?”

Kepala diangkat dari perut bag. Duan dipandang tepat. “Dah tujuh tahun aku bergelumang ditengah-tengah gelanggang tu..”

“So? Kau nak quit macam tu je?”

Angguk.

“Dengan semua usaha kau selama ni? Kau just nak lepas tittle HeadKing of the G-Baskin macam tu je?”

Senyum. “Usia bertambah bukan semakin muda..”

“Beb chill la! Baru 24 kot. Tak kan kau dah plan nak kahwin?” Gelak.

“Hidup bukan hanya belajar, kejar cita-cita, cinta, perkahwinan dan kejayaan. Hidup adalah sebuah pengorbanan, pengabdian, penghambaan dalam menyelami makna sebuah kehidupan untuk mengenal Sang Pencipta Yang Maha Satu..”

Senyap.

“Dah terlalu jauh aku berlari melakar angan-angan demi mencapai cita sendiri. Membutakan pada yang Haq. Mentulikan pada yang bernama kebenaran. Jauh aku terlontar dalam dunia yang aku cipta, yang megahnya hanya sementara cuma…”

“Shad…”

Tasik yang tenang berkocak indah mendakap damai didada. Seketika Duan dikalih pandang.

“Perjuangan kita bukan hanya setakat dimedan gelanggang basket yang menagih bergelen keringat, tapi nun jauh disana…di medan yang menyaksikan pertumpahan darah dan air mata, medan yang menyaksikan nyawa direngut kejam, medan yang menyaksikan syahidnya sang jiwa yang berpanjikan mahar ISLAM…”

“Aku…”

Senyum. “..ada hal?”

Sengih. Sisi kepala digaru.

“Mungkin kalau saat ini jika aku bercakap soal beat and kill, kau pasti punya masa.” Senyum. “Lumrah mentaliti masyarakat kita dan aku suatu ketika dulu..”
“Beb…” Serba salah.
“Tak pe. Hak masing-masing. Aku tak paksa.” Bahu Duan ditepuk lembut.
“Sori..”

Angguk. Air sirap bandung disedut.

“Chow. Jumpa lagi.” Bag dicapai. Kaki melangkah meninggalkan Irshad dibangku.
“Assalamuallaikum..” Sedikit terjerit.

Kepala dikalih ke belakang. Raut tenang Irshad terpancar. Sengih ditarik. “Waalaikumusalam…”
******
Di keheningan pagi, kembali aku bersimpuh. Melerai rindu pada Sang Kekasih. Meluah rasa dalam jalananNYA. Mengharapkan PimpinanNYA, dalam menuntun langkah kaki yang kerap tersasar.

Ya Rabbi...   
Aku lahir ke dunia dengan izinMU 
Lahirku saat Rasul dan sahabat telah jauh nun di kampung barzakh   
Para tabi' dan tabi'in juga telah jauh meninggalkan aku..   
Kini aku menyambung generasi yang mengalirkan darah yang sama,   
dalam nadi yang sama, atas mahar agamaMU yang satu, ISLAM...

Ya Rabbi...   
Zaman ku adalah zaman pemerintahan Islam yang tak lagi punya suara..   
Lemah tak berkuasa,
tunduk hanya mengganguk,
dihulur terus menyambut,   
dipuji terus meninggi,
dibeli terus lupa diri...   
Sebuah pelaburan yang memperdagangkan mahar keIslaman,   
Kekejaman yang membunuh!

Ya Rabbi...   
Aku terbit ditengah masyarakat Islam,   
Namun warna keIslaman tak lagi menyinari, luntur dan sepi...   
Tiada lagi kedengaran suara-suara yang berzanji,   
Tiada lagi ceritera kalamMU yang menasihati,   
Tiada lagi imarah yang menyinari mahligaiMU   
Sebagaimana yang muda melupakan yang tua,   
Tiada lagi hormat yang memagari..   
Dan kini   
Pekikan dan lolongan yang menghiasi,   
Perlumbaan yang menjulang kedudukan dan pangkat dikejari,   
Amanah yang dicerobohi, 
Fitnah yang mendasari tampuk pemerintahan,   
Peragaan dan penonjolan yang mendominasi,   
tiada lagi malu, 
tiada lagi harga diri,   
Layar jahiliyyah kembali menakluki..   
Islam dah terusir pergi,   
dari hati dan kehidupan mereka yang lahirnya bersyahadahkan khalimah ashaduallah ilahaillallah wa ashaduanna muhammadurrosullah...   

Semuanya hanya tinggal lafaz, sebagaimana debu yang terusir pergi dalam curahan hujan yang menuruni..

Ya Rabbi...   
Ditengah gelap gelitanya dunia,   
disudut-sudut pondok usang,   
dicorok-corok yang beratapkan rumbia,   
masih ada lagi yang gigih berjuang,   
menyinarkan kembali cahaya keIslaman yang kian malap dek ditenggelami gah kemilau neon..   
Aku bersyukur kepadaMU Ya Illahi...

Dalam cebisan semangat yang memacu mereka teguh,   
Ku kuatkan azam menjadi sebahagian daripada mereka,   
walau ku tahu aku hanyalah ranting pada sang pokok,   
Akan ku cuba sedaya upaya menggerakkan generasiku yang telah lumpuh,   
generasiku yang kian buta dalam celiknya teknologi,   
generasiku yang menjadi hamba pada nafsu sendiri,   
generasiku yang terulit dengan cinta agung dongengan Romeo&Juliet,   
generasiku yang terpelajar namun tak berilmu...   
Namun Ya Rabbi...   
Saat kaki ini ingin melangkah dengan api jihad yang marak didada,   
seringkali akal bertingkah dengan sang hati..   
Aku takut Ya Rabbi..   
Aku lemah untuk membimbing mereka,
kerana aku juga tidak sempurna
Dari noda dosa dijejak langkahku...

Dalam tafakur tahjjud,
sang bayu datang berbisik lembut..
memujuk hati yang kembali rapuh,
menguatkan iman yang mula goyah,
Terima kasih Ya Allah...

Jika kau menunggu kesempurnaan untuk menggalas tugas ini,
nescaya kehancuran pasti mendahuluimu,
kerana tiada insan yang akan sempurna dan suci dari noda dosa..

'Sesungguhnya setiap Muslim berkewajiban untuk mengajari saudara seakidah yg masih bodoh tentang agama Islam'

******
Selesai sesi ta’aruf, kaki menapak ke dalam masjid. Getaran didada bergetar dalam pelbagai melodi. Rasa yang bercampur gaul. Dalam kehinaan yang memuncak didada, takbir di angkat tinggi. ‘Aku pulang ke pangkuanMU Ya Illahi…’

Seusai salam, kalamuallah suci ku capai. Dalam simpuhan, kalam Agung-NYA ku selak. Pada bait-bait indahnya, jejari berlabuh terketar. Dalam lafaz bismillah, ku lagukan puisiNYA. Bersama alunan yang terlantun, air mata membasahi pipi. Sungguh pesonanya, menyentak lenaku Ya Illahi. Terima kasih atas pelukan tarbiyyahMU…

Di balik tirai, air mata syukur sekujur jasad yang bernama sahabat sahabat gugur buatNYA. Terima kasih Illahi atas labuhan hidayahMU buatnya.

Sendu yang terlahir dalam alunan indah bacaan Irshad meruntun sebak didada. ‘Indahnya tarbiyyahMU Ya Allah. Teguhkan kami dijalanMU. PimpinanMU kami damba…’
*******
“Shad…”

Kepala dipanggung. Bibir spontan tarik senyum. “Fiq!” Tangan berjabat.

“Apa khabar?”
“Alhamdulillah.” Senyum.

Angguk. Genggaman masih utuh tergenggam. “Alhamdulillah…” Irshad masih tepat dipandangan.

“Terima kasih..” Menunduk.

Bahu Irshad ditepuk lembut. “Aku sekadar lorongan dariNYA..”

Senyum. “Maaf untuk torehan luka yang pernah aku pahatkan…” Fiq ditarik ke pelukan. Air mata laju membasahi pipi. ‘Maafkan aku sahabat…’

“Tiada dendam yang aku memorikan, kerana torehan luka itu banyak mengajar aku erti pada sebuah kata yang bernama kehidupan..” Pelukan dieratkan. ‘Ya Rabbi, terima kasih untuk hadiah terindahMU ini…’

“Hati kau mulia.”

Geleng. “Kemaafan yang menjadikannya mulia.” Senyum.

“Kemaafan...” Angguk. “Kemaafan itu indah. Kemaafan itu adalah ladang kasih sayang yang tersemai bertunaskan cinta Illahi..”

“Moga bulan kemuliaan ini disimbahi cahaya kemaafan.” Bahu Irshad ditepuk lembut.
“InsyaAllah dengan izinNYA…”

-Family isn’t whose blood you carry, is who you love, and who loves you.-
******
“Assalamuallaikum.”

Kepala dipanggung dari letak meja. “Uik!” Mata yang masih digayuti sisa kantuk digenyeh perlahan.

“Overtime, pulun project?” Sling bag diletak di atas meja.

Duan tarik Sengih. “Game.”

Angguk. “Dengan sape?”

Tangan dibawa ke mulut menahan kuap. “Tiger.”

Buku ditarik dari beg. “Sape king?”

“Pojan.”
“Ouh.” Kepala mengangguk.
“Kau pe citer?” Irshad yang tengah tarik lappy dipandang.

Kepala dikalih.  “Citer yang baru bermula. Dan masih tak berpenghujung…” Senyum. Butang on lappy ditekan.

“Maksud kau?” Sisi kepala digaru bingung. ‘Sejak bila heart stone punya takat beku dah tertukar jadi takat didih nih?”

“"Dulu namanya Burma. Sekarang namanya Myanmar. Negara tu terletak sebelah dengan Bangladesh. Dulu kerajaannya dipimpin kerajaan tentera sampai 2011. Sekarang baru kerajaan demokrasi. Dah ada presiden namanya Thein Sein."

Mulut dah shape oval. Mata dah membulat ala-ala ikan buntal. Irshad dipandang tak berkelip. ‘Huik?’

Mouse digerakkan ke arah ikon ‘my document’. “Kat sana ada 800 ribu penduduk Rohingya yang mana mereka ni tidak diiktiraf kewarganegaraan mereka. Ramainya antara mereka orang Islam macam kita. Masyarakat majmuk juga macam negara kita. Kat wilayah yang ada penduduk Rohingya tu ada puak Buddha yang besar orang panggil Buddha Rakhine."

Liur ditelan. Lebar telinga dibesarkan. ‘Aku tak salah dengarkan? Irshad cakap pasal sejarah?Omaaa~!’

Kepala diangkat dari skrin lappy. “Curious?”

Sengih. Sisi kepala kembali digaru. Seketika kepala digeleng perlahan.

“Kau rasa aku tengah baca sajak sejarah atau…?” Mata kembali mendarat diskrin lappy. Ikon folder ‘Project Final’ ditekan.

“Aku rasa kau dah kena kidnap dengan Voldermot…” Perlahan.

Gelak. Kepala tergeleng kecil. “Ini bukan soal sejarah. Ni soal ISLAM.” Kertas yang berjilid ditarik dari sling bag.

Liur ditelan. Pahit!

“Kat sana telah berlaku rusuhan antara agama.” Duan dipandang tepat. Mencari reaksi pada sekujur tubuh yang bernafas dalam nadi yang sama, ISLAM!

Mulut yang ingin berbicara terkaku. Renungan mata Irshad menikam lembut ke hati.
“Buddha lawan Islam. Islam telah lama didiskriminasi di sana. Tapi kali ini telah sampai ke kemuncaknya…” Kepala ditunduk. Tangan meraba kertas disisi. Melodi kecewa kembali berkumandang disudut kecil itu.

Kepala yang menunduk sayu itu terakam kemas dimemori. Dia, bukan lagi Irshad yang aku kenali…

“Tahun ni hingga ke bulan Ramadhan ni, berpuluh-puluh ribu umat Islam dibunuh oleh fanatik Buddha. Masjid-masjid dibakar bersama jemaah di dalamnya. Yang membantu baiki masjid dipenjara, wanita-wanita dirogol sampai mati, mayat-mayat umat Islam dihumban ke sungai, ke laut tanpa boleh dikebumikan, dibiarkan dimakan anjing-anjing dengan mayat-mayat dibogelkan tidak berpakaian…” Nafas ditarik. Tubir mata yang bergenang penuh tak mampu lagi ditahan. 

“Kehinaan yang begitu menghinakan. Namun suara ISLAM bisu tak bersuara…” Kepala didongak. Langit biru ditatap. Jauh ke dasar. “Moga Allah swt melaknat kezaliman melampau yang sedang berlaku. Allah..Allah.." Kedua-dua kelopak mata terpejam rapat. ‘Andai gelora jiwa ini mampu bersuara Ya Rabbi.. Moga dengan izinMU, saat itu kan tiba. Dan aku nantikannya penuh sabar.’

Kepala menekur lama ke meja. Sesak dengan rusuhan yang mengasak di minda.

“Kau ok?”

Kepala di angkat perlahan. “Kenapa kau berubah? Kenapa aku kena face kau yang sekarang?” Anak matanya tajam menikam anak mata Irshad.

“Saat DIA mengatakan ‘KUN FA YAKUN’, maka jadilah ia.” Anak mata Duan yang masih tepat diraut wajahnya dibalas tenung. “Tak perlu mempersoal kenapa aku berubah. Apabila DIA mengkehendaki sesuatu, maka terjadilah ia. Kita tak perlukan sejuta persoalan atas apa yang berlaku dalam jalanan takdir kita. Sebagaimana kau tak perlu mempersoal kenapa kau harus face aku saat ini, dan aku tak berhak mempersoalkan kenapa aku harus duduk mengadap kau saat ini. Kerana kita berjalan dalam jalanan takdirNYA. Kita hidup dalam nadiNYA. Kita melihat dengan mataNYA. Kita mencintai dengan belasNYA. Kita  adalah milikNYA…” Bibir tarik senyum. ‘Cukup dengan mengingatiMU, cukup dengan menyebut nikmat-nikmatMU, jiwa ini penuh dengan kebahagiaan dan kedamaian Ya Rabb..’

Kepala yang jatuh menekur ke meja dipandang. “Siapalah aku dan kau untuk mempersoal. Sedang helaan nafas tika ini adalah dari belas ehsanNYA..”

“Abang Shad!”

Laungan mengejut mematikan suasana. Irshad kalih pusing. Tangan diangkat tinggi ke udara.
“Err…” Megah.
“Tarik nafas dulu.”

Sengih. Dada diusap perlahan.

“Kenapa?” Ishq yang mula tenang disoal.
“Ustaz Junaidi nak jumpa..” Duan yang mula panggung kepala dihulur jabat.

Jam ditangan kiri dijenguk. “Sekarang?”

“Yup!”

Tangan pantas menyumbat perkakas yang bertebaran dimeja ke dalam sling bag. Bangku ditolak ke belakang. “Sori beb!”

Duan mengangguk.

“Assalamuallaikum.”

Langkah Irshad dan Ishq dihantar dengan anak mata. “Waalaikumusalam…” Perlahan. Bagai bisikan sang bayu yang berpuput tak disedari..
*******
Terik mentari bagai membakar saluran tekak yang sememangnya kehausan. Bola ditangan dipusing arah jam.

“Weyh! Tak larat la. Stop sini la…” G-rol dah terbaring ditengah-tengah court.

“Sambung esok la. Kang ada gak aku cilok puasa ni. Dehydrated separuh mati dah ni!” Que dah tak mampu nak celik.

“Assalamuallaikum..”

Lapan kepala serentak menoleh.

“Abang Duan?”

Bola ditangan dah tersadai di lantai. Bibir perlahan bergerak menjawab salam. Tangan yang terhulur dijabat.

“Ingat lagi?”

Mata dikecil besarkan. “Hmm..” Bawah dagu digaru jari telunjuk.

“Ishq! Junior abang Shad.”

“Ouh…” Mulut dah bentuk oval. Kepala diangguk lambat.

Ishq tarik sengih. “Tak pe la bang, Ishq dah nak gerak ni..”

“Dah habis paper?”

Kepala diangguk laju. “Tak sabar nak sambung puasa kat kampong!”

“Ok. Hati-hati.”
“Selamat berpuasa dan Selamat Hari Raya untuk Abang Duan dan keluarga.”

Kedua-dua tapak tangan saling berjabat.

“Assalamuallaikum.” Tubuh Duan ditarik ke pelukan.
“Waalaikumusalam…”

Langkah Ishq yang semakin menjauh dipandang. Lama. Pelukan tubuh kecil itu masih terasa hangat mendakapnya tika ini. Pelik!

“Sape tu? Kelakar!”

G-rol dikalih pandang. Kening terjungkit tinggi.

“Puasa tak habis lagi dah wish bagai!” Serentak dengan itu, gelak tujuh suara mulai pecah. Membingitkan suasana court yang dah lengang.

Duan geleng kepala perlahan. Entah kenapa bibir tak terasa nak turut gelak sama, walau hakikatnya hati tercuit dengan baris kata itu..
******
Enjin motor dimatikan. Helmet dikepala ditarik keluar. Kaki mula menapak ke dalam kedai runcit Ah Seng.

“Yo Ah Seng!” Bibir tarik sengih.

Kepala diangkat dari guni beras yang tersusun. Duan dikerling sekilas.

“Ayo.. Lu bila balik?” Habuk dibelakang seluar ditepuk perlahan.
“Semalam Chong.” Mata dilarikan ke rak tepung.
“Cari itu tepung pulut?”
“Macam biasa Chong.” Sengih.

Ah Seng geleng kepala. “Mak Mah buat kuih?”

Angguk. Paket cili boh dicapai.

“Ada jumpa Shad?”

“Dia da balik Chong?” Kepala pantas dikalih mengadap Ah Seng yang berseluar pendek dan berbaju pagoda.

“La..lu talak tau ka? Dia sekalang manyak sibuk..”
“Kenapa Chong?”
“Itu dia punya kawan sudah tadak (meninggal)”

Paket cili boh terlepas dari tangan. Dada berdebar kencang.

“Eh..” Ah Seng bingung.

Deruman enjin kedengaran. Kepulan asap mulai hilang bersama hilangnya bayang-bayang Duan.
******
Kaki terkaku. Khubah yang berwarna kuning indah bersinar dibawah teriknya mentari. Bangunan yang makin using dimamah hujan dan mentari diamati. Getar didada beralun. Kuat memalu.

‘Astagfirullah…’ Muka diraup. Lama benar daerah ini ku tinggalkan…

“Assalamuallaikum…”

Mata dicelik.

“Waalaikumusalam.” Huluran tangan tua bersambut.
“Anak cari siapa?”
“Irshad ada pak cik?”
“Ouh. Ada-ada. Masuk la. Dia kat dalam.”

Kepala mengangguk perlahan. “Terima kasih pak cik.”

“Yer, sama-sama. Pak cik beransur dulu. Assalamuallaikum.”
“Waalaikumusalam.”

Setelah jejak bayang pak cik berjubah kelabu hilang dipandangan, kaki mula diatur gerak. Sejuk lantai marmar menghantar melodi yang tak difahami. Dalam kemelut mainan rasa, kaki diteruskan melangkah. Seketika mata terpaku pada sesusuk tubuh berbaju dan berkopiah putih. Alunan melodi yang dimainkan melumpuhkan gerak kaki. Suara itu… oh Tuhan!
******
Bawang dikupas laju. Minyak dikuali berdesir kuat saat ikan selamat didaratkan ke perut kuali. Tangan lincah berlari. Haruman semerbak mula menular diruang dapur.


“Mak masak pe?”

Kepala diangkat dari lesung batu. “Lemak cilik api dengan ikan geli goreng ni haa..” Ikan dikuali dibalik. “Kamu dari mana?”

“Dari rumah Pak Ajis. Shad ada kat depan tu.” Ketupat dibawah saji dicapai.
“Alhamdulillah..” Hujung baju dibawa ke tubir mata. “Ajak Shad berbuka sekali. Mak masak banyak ni..” Sudip dicapai.

“Maafkan dosa-dosa Duan Mak..” Belakang tua itu didakap erat.

Mak Mah mengganguk laju. “Mak dah lama maafkan anak-anak mak…”

“Doakan Duan kuat!”

Tubuh dikalih pusing. Tubuh sang anak dibawa ke dakapan. “Mak tak pernah henti berdoa untuk anak-anak mak. Hanya itu yang mak ada untuk zahirkan kecintaan mak…”
Kasihnya seorang ibu...

Air mata yang sekian lama membeku, mencurah ke pipi. “Terima kasih Ya Illahi di atas kesempatan ini…”
******
Tepukan dibahu menyedarkan angan. Kepala dikalih ke sisi.

“Berangan?” Senyum. Punggung dilabuh ke pangkin. Bersebelahan Duan.

“Menjenguk jejak semalam. Mengutip secebis pengajaran. Untuk menampal cariknya dosa-dosa semalam…”

“Moga Ramadhan kali ini, kita tidak tergolong dalam hambaNYA yang rugi…” Irshad panggung kepala. Di dada langit mata melabuh pandang. Dada langit yang terkandung berjuta rahsia dan air mata. Langit Illahi..
******
Gigitan nyamuk menyedarkan lena. Badan dikalih mengiring ke kanan. Cahaya yang menerobos dari celahan pintu menyilaukan mata. Dalam kudrat yang tak seberapa, tubuh bangkit dari pembaringan.

Pintu bilik Duan yang sedikit terbuka ditolak perlahan. Susuk tubuh anaknya kelihatan. Alunan indah yang berulit sendu menghantar sebak didada..

Ku menatap dalam kamar
Tiada yang bisa ku lihat
Selain hanya nama MU Ya Allah..

Esok ataukah nanti
Ampuni semua salah ku
Lindungi aku dari segala fitnah…

Kau tempat ku meminta
Kau beri ku bahagia
Jadikan aku selamanya
Hamba Mu yang selalu bertaqwa

Ampuni ku Ya Allah
Yang sering melupakan Mu
Saat kau limpahkan kurnia Mu

Dalam sunyi aku bersujud…

Dada kalamuallah diselak. Helaian yang terselit ditarik. Rutin yang tak pernah ditinggalkan seusai mengalunkan puisi indahNYA…

Kadang saat hati kita diluka,
Rasa sedih mencengkam terguris..
Namun jangan kita lupa,
Dalam kita tak sedar,
Hati lain jua kita guris..

Mengapa perlu mempersoal andai ada yang melontar rasa
Sedang tika itu kita tak ubah sebagaimana dia..
Teruskan berdoa agar ditetapkan hati,
Buang segala sangka yang menjadi iri,
Kerana bukan nilaian harta yang kau cari,
Bukan jua kerana nama kau ingin dikenali,
Cukuplah redhaNYA sebagai mahar yang kau dambai,
Moga PimpinanNYA sentiasa mengiringi langkah kaki...
InsyaAllah...

Duhai hati dan jasad,
Galaslah kewajipan itu dalam jalanNYA,
Dan tugasmu adalah berusaha,
Gagal jatuh,
Dicela tak diterima,
Itu hanyalah perkara biasa..


Sahabat,
Jalanan dakwah itu manis,
Namun landasannya haruslah dipantau,
Bimbang dalam tak sedar tergelincir dari landasan,
Kelak tak lagi balik ke pangkal jalan...

Sahabat,
Jalanan dakwah adalah suci,
Bukannya pentas meninggikan diri..
Jalanan dakwah itu murni,
Bukan kayu ukur berapa ramai orang yang bisa kau takluki..

Sahabat,
Jalanan dakwah bukanlah lesen untuk mu bermegah,
Kerana jalanan dakwah itu punya dua cabang,
Andai kaki tersasar melangkah,
Jalanan kelam itu kembali kau huni...

"Katakanlah inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak kepada Allah dan yakin, Maha suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang musyrik." [Yusuf:108]


Ya Allah,
Bantulah hambaMU ini..
Sedarkanlah semula generasiku Ya Rabbi..
Bangunkalah semula ummat akhir zamanMU ini Ya Illahi..
Aku yakin Islam pasti kan kembali,
Dan aku tak akan berhenti sampai disini,
Selagi nafas belum terhenti...


~Sekiranya anda memilih untuk teguh dan tetap dalam menempuhi jalan yang panjang dan sukar ini ketahuilah bahawa kemenangan akan tiba. Ia tetap akan tiba sama ada anda memilih untuk bersama atau tidak. Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat..~

"Wahai orang yang beriman,mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang sabar."  [al-Baqarah:153]

ErtiHidup
Ishqal Danial
Salam dari bumi tenat,
Burma:7 Ramadhan 1433

‘Tenanglah kau disana dik. Izinkan aku teruskan perjuangan ini Ya Rabbi. Moga langkah ini tak tersia. Moga air mata ini tak tercela. Moga ini bukan igauan yang sekadar menyapa aku di alam mimpi. Aku harap Ya Rabbi…’

Dalam air mata, takbir diangkat damai. Dalam sujud hati berbicara sendu, ‘Akulah hamba…’

Disebalik pintu, berdirinya kudrat si tua yang basah dengan air mata syukur. ‘Andai ini Ramadhan terakhir kami Ya Tuhan, kau terimalah taubat kami, kau ampunilah dosa-dosa kami. Moga kami tak tergolong dikalangan orang-orang yang rugi…’

*******
‘Ya Rabbul Izzati, dalam simpuhan hina, aku tunduk mendamba secebis keampunanMU walau ku tahu air mata ini tak akan mampu membasuh noda-noda dosa semalamku.

Ya Rabbi, seringkali aku tersungkur dalam langkah. Permulaan perjuangan yang tak punya jiwa menghumban aku jauh ke dalam lautan kecewa. Seringkali aku alpa pada taliMU, seringkali meragui pada ketentuanMU. Terkapar kelemasan. Lelah dalam jiwa sendiri..

Ya Rabbi, telah ku susuri beribu liku. Menagih pada dunia. Mengemis pada manusia. Mengharap pada kemilau kemewahan. Berdusta pada jiwa. Demi membenarkan apa yang dihajati, demi menegakkan apa yang dipunyai, demi mempertahankan apa yang dimiliki..

Namun Ya Rabbi, saat deraian air mata tenat menitis dipipi, hanya Engkau yang hadir menyapu. Saat langkah kaki tersungkur tak berdaya hanya Engkau yang hadir menuntun kembali. Saat jalanan yang terang mulai kelam hanya Engkau yang hadir menyuluh. Saat aku tenat, terhempas, terluka, kecewa, berdosa, HANYA ENGKAU yang hadir memeluk. Indah menyelimuti dengan Nur-KasihMu..

"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."[an-Nahl:18]

Ya Rabbi, aku bukanlah seteguh hanzalah tidak jua setabah Summayyah. Aku hanyalah hambaMU yang seringkali khilaf. Namun Ya Rabbi, disudut hati ini seringkali aku mendambakan akulah sang teguh dan sang tabah diakhir zaman ini. Amanah pada yang haq. Lantang pada sang nafsu. Jujur pada tanggungjawab. Benar pada laku. Ikhlas dalam mahabahMU. Walau hanya dalam kelamnya malam. Izinkan aku Ya Allah...’

Bersama kelamnya kepekatan malam, esakan sendu dihamparan sejadah kembali berkumandang. Tangisan sang hamba yang mendambakan kasih dan cintaNYA. Sendu yang terlahir bersama curahan rasa yang menghimpit, demi memohon pimpinanNYA…

Dada diusap lembut. Ketenangan yang sangat mendamaikan. Langit didongak. ‘Tuhan, tempatkan dia disisi para mujahid. Moga darah syahid yang mengalir dari tubuhnya membakar bara jihad disudut hati ini. Ishq, kau lah pejuang as-SiddiqNYA! Allahuakabar! Moga kau tenang disana dik…’

Kelopak mata dipejam rapat. Air jernih mengalir lembut dicelahan kelopak. Kenangan semalam tetap segar diingatan. Kenangan yang mengembalikan sahabat bangkunya kepada fitrah. Kenangan yang menyemarakkan api jihad didada Ridhuan dan Irshad! Kenangan yang membasahi bulan suci. Menyucikan debu-debu dosa semalam…

“Ishq nak jadi pejuang!”

Kepala dikalih. Bibir tarik senyum. “InsyaAllah…”

“Abang Shad jangan lupa doakan Ishq tau!”

Kepala diangguk dengan mata masih melekat diskrin lappy.

“Ishq sayang abang Duan…”

Kepala spontan dipusing. Mata terpaku diraut tenang berkopiah putih itu.

“Pertama kali jumpa Abang Duan, getar tu terasa. Dekat sangat kat sini.” Dada dilekap. “Kalau Ishq tak sempat balik raya nanti, tolong kirim salam kat Abang Duan yer..”

“Ishq nak pergi mana?” Dahi dah bergaris tiga lapis.

“Nak pergi berjuang!” Senyum.

Mata terpaku diraut wajah tenang Ishq. ‘Subahanallah, indahnya senyuman dia!’

Dan dia benar-benar pergi..

Di daerah berdarah yang mengalir percikan darah keISLAMan yang direnggut kejam, dia pergi menabur bakti, mencurah kasih, demi ikatan ukhuwah yang bermaharkan ISLAM. Dalam keberanian yang membakar jiwanya yang besar, dia terkorban. Ditembak tanpa belas, saat tangannya menyuap cebisan roti pada si kecil yang sedang menangis kelaparan. Dan saat dia kembali, dalam lumurah darah senyuman indah itu tetap miliknya…

Subahanallah! Allahuakabar!
*******

Irshad - Andai bumiMU megah dengan isinya. Andai langitMu menongkat dengan keindahannya. Ya Rabb, Aku kan pasti megah mendabik kerana akulah hambaMU. Terima kasih Ya Rabbi mengizinkan aku bernafas sebagai hambaMU...

Ridhuan - Hidup ini susah untuk diduga. Kadang-kadang kita rasa dekat sangat dengan seseorang, tapi sebenarnya jauh. Walaupun kita dapat capai dan genggam tangannya, tapi belum tentu hati dia dapat kita selami. Mungkin kadang-kadang kita dapat tengok dia ketawa, tapi kita tak tahu apa di sebalik senyumannya. Bila dia menangis, kita ingat kehadiran kita dapat memujuknya, walhal kehadiran kita langsung tidak dihargai. Rencah dunia. Kita tidak tahu siapa kawan dan siapa lawan sehinggalah sampai masa kita jatuh. Adakah tangan itu menghulurkan bantuan atau kita ditinggalkan.

Namun, hadiah tak selalu terbungkus dengan indah. Kadang kala Tuhan membungkusnya dengan masalah, tapi di dalamnya tetap ada berkat…

Ishqal Danial -  Ada perkara yang kita tak mahu terjadi, tetapi harus menerima. Ada perkara yang kita tak mahu tahu, tetapi harus belajar. Dan ada perkara yang kita tak mampu kehilangan, tetapi harus melepaskan…

******
"Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat) dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini)."[an-Nisa':79]

Ajarkan aku duhai langit,
Tentang KEBESARANNYA agar aku mengerti inilah tarbiyyah tanda cintaNYA buatku..
Ajarkan aku duhai awan,
Tentang KEKUASAANNYA agar aku tahu DIA sentiasa bersamaku..
Ajarkan aku duhai bintang,
Tentang KEAGUNGANNYA agar aku tahu hanya padaNYA tempat bergantung..
Ajarkan aku duhai mentari,
Tentang KEESAANNYA agar aku tahu dunia ini hanyalah persinggahan..
Ajarkan aku duhai pelangi,
Tentang KECINTAANNYA agar aku tahu indahnya bernafas dalam nadi hamba..
Ajarkan aku duhai ALAM..
Agar ku tahu betapa Maha Agungnya DIA Penciptaku...

"Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya) atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu)."[al-Furqan:62]


Ramadhan 1433–nk

Comments

Popular Posts